IMG_7710

1) Doa selepas tasyahhud akhir itu disyariatkan tanpa khilaf.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA :

أن النبي صلى اللّه عليه وسلم علّمهم التشهّد ثم قال في آخره‏:‏ ‏”‏ثُمَّ يُخَيّرُ منَ الدُّعَاءِ‏”‏ وفي رواية البخاري‏:‏ ‏”‏أعْجَبَهُ إلَيْهِ فَيَدْعُو‏”‏ وفي روايات لمسلم ‏”‏ثُمَّ ليَتَخَيَّرْ مِنَ المَسْأَلَةِ ما شاءَ‏”‏‏

“Sesungguhnya Nabi SAW mengajar mereka tasyahhud kemudian baginda bersabda pada akhirnya : “Kemudian hendaklah di kalangan kamu memilih beberapa doa”.

Dalam Riwayat al-Bukhari ditambah : “.. doa yang disenanginya, lalu ia berdoa”. Menurut beberapa riwayat daripada Muslim : “kemudian hendaklah ia memilih permohonan yang diingininya”.

2) Doa ini disunnatkan bukannya wajib, dan disunnatkan pula agar memanjangkannya, kecuali jika ia menjadi imam.

3) Hendaklah dia berdoa apa saja yang dikehendakinya sama ada urusan akhirat dan dunia.

4) Berdoalah dengan doa-doa yang ma’thur; dan boleh berdoa dengan doa-doa yang direka sendiri, tetapi berdoa dengan yang ma’thur lebih utama.

Telah thabit di dalam tajuk ini, doa-doa yang banyak antaranya :

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :

‏”‏إذَا فَرَغَ أحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الأخِيرِ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أرْبَعٍ ‏:‏ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالمَماتِ، وَمِنْ شَرّ المَسِيحِ الدَّجَّالِ‏”‏ رواه مسلم من طرق كثيرة‏.

وفي رواية منها‏:‏ ‏”‏إِذَا تَشَهَّدَ أحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ، يَقُولُ‏:‏ اللَّهُمَّ إِني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَة المَسِيحِ الدَّجَّالِ‏

“Apabila kamu selesai membaca tasyahhud akhir, hendaklah kamu berdoa memohon perlindungan kepada Allah terhadap empat perkara : Berlindung daripada azab jahannam, daripada azab kubur, daripada ujian hidup dan mati; serta berlindung daripada kejahatan al-masih ad-dajjal”. (HR Muslim).

Dalam riwayat lain : “Apabila kamu selesai bertasyahhud, hendaklah memohon perlindungan dengan Allah daripada empat perkara, baginda membaca : Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab jahannam, dan daripada azab kubur, dan daripada fitnah hidup dan mati, dan daripada keburukan fitnah masih ad-dajjal”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Aisyah RA : Sesungguhnya Nabi SAW berdoa di dalam solat :

‏”‏اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسيحِ الدَّجَّال، وأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من المأثمِ والمَغْرَمِ‏”‏‏

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah masih ad-dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada hambatan dosa dan hutang”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Ali RA, katanya : Rasulullah SAW, apabila bersolat, bacaan terakhirnya antara tasyahhud dan salam :

‏”‏اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ما قَدَّمْتُ وَمَا أخَّرْتُ، وَمَا أسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أسْرَفْتُ وَمَا أنْتَ أعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أنْتَ المُقَدِّمُ وأنْتَ المُؤَخِّرُ لا إِلهَ إِلاَّ أنْتَ‏”‏‏

“Ya Allah, ampunilah dosaku apa yang terdahulu dan yang terkemudian, apa yang tersembunyi dan apa yang terzahir, apa yang terlampau dan apa-apa yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Engkaulah yang Maha Terdahulu dan Engkaulah yang Maha Akhir, tiada Tuhan kecuali Engkau”. (HR Muslim).

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash, daripada Abu Bakar as-Siddiq RA : Abu Bakar berkata kepada Rasulullah SAW : “Ajarlah kepadaku satu doa, yang aku akan berdoa di dalam solatku”. Baginda menjawab :

‏”‏قُلِ اللَّهُمَّ إني ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْماً كَثِيراً وَ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحمْنِي إنَّك أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيم‏”‏

“Bacalah : Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak; oleh itu tidak ada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau. Ampunilah aku dengan keampunan dariMu, rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (HR al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Soleh Zakwan, daripada sebahagian sahabat-sahabat Nabi SAW, kata mereka : Nabi SAW bersabda kepada seorang lelaki :

‏”‏كَيْفَ تَقُولُ فِي الصَّلاةِ‏؟‏‏”‏ قال‏:‏ أتشهَّد وأقول‏:‏ اللَّهُمَّ إني أسألُكَ الجَنَّةَ، وأعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ، أما إني لا أحسنُ دَنْدَنَتَكَ وَلا دَنْدَنَةَ معاذ، فقال النبيّ صلى اللّه عليه وسلم‏:‏ ‏”‏حَوْلَهَا دَنْدِنْ‏”‏‏.‏

“Apa yang kamu baca di dalam solat?” Lelaki itu menjawab : “Aku bertasyahhud dan berdoa : Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu syurga, dan aku berlindung denganMu daripada api neraka”.

Lelaki itu melanjutkan lagi : “Aku ini tidaklah pandai panjang-panjang berdoa sebagaimana engkau dan Muaz”. Nabi SAW menjawab : “Sebenarnya doa sekitar syurga itu pun panjang”. (HR Abu Daud).

Antara doa yang sunnat dibaca pada setiap tempat ialah :

اللَّهمّ إني أسألُك العفوَ والعافية، اللَّهمّ إني أسألُك الهدى والتقى والعفافَ والغنى.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kemaafan dan keselamatan. Ya Allah sesungguhnya aku bermohon kepadaMu petunjuk, taqwa, menahan diri dan kekayaan”.

Wallahu a’lam.

Kitab al-Azkar Imam an-Nawawi; Kuliah Maghrib Masjid Kg Lok Kawi Baru, Putatan