IMG_0748

Dalam dialek brunei, istilah berbuka puasa disebut sebagai sungkai. Rasanya itu lebih sesuai dan menepati maksud.

Di beberapa lokasi ceramah, saya pernah menyebut tentang galakan memberi makan kepada orang yang sungkai kerana terdapat hadith khusus yang menyarankannya.

Sebenarnya ibadah ini banyak dilakukan di kampung-kampung yang masih mengamalkan kehidupan berjiran. Bersedekah dan bertukar-tukar makanan menjadi budaya yang sangat baik dan mulia.

Saya mencadangkan agar ia diperluaskan lagi ke masjid dan surau. Banyak masjid dan surau sudah melaksanakannya tetapi lebih banyak lagi yang belum memulakannya.

Kebanyakan masjid dan surau lebih selesa dengan bersedekah makanan moreh selepas tarawih. Ia sudah tentu tiada salahnya kerana itu termasuk dalam galakan bersedekah secara umum.

Walaubagaimanapun, bersedekah dengan memberi makanan kepada orang yang sungkai sudah tentu lebih utama kerana hadith khususnya.

عن زيد بن خالد الحهنى رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال  : من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لاينقص من أجر الصائم شيئ – رواه الترمذى

Dari Zaid bin Khalid Al-Huhanni r..a., dari Nabi s.a.w. telah berkata: “Barangsiapa yang memberikan makanan sungkai kepada orang yang berpuasa, maka baginya memperolehi pahala sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikitpun.”

Bagi JK masjid dan surau yang belum biasa mengadakan majlis sungkai secara beramai-ramai @ iftar jamaie, ia boleh dimulakan sekali sekala, khususnya pada hujung minggu. Tahun hadapan boleh ditambah lagi kekerapannya.

Mungkin ramai beralasan dengan kesibukan hari bekerja.

Sebenarnya, ia boleh dilakukan kalau kita mahu. Buka ruang kepada jamaah yang berkemampuan untuk bersedekah. Sediakan petugas khas atau JK yang khusus untuk mengendalikannya.

Saya respek dengan Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral Kota Kinabalu yang terus istiqamah mengadakan iftar jamaie pada tahun ini.

Borang dipaparkan untuk diisi oleh masing-masing yang berkemampuan untuk bersedekah dalam bentuk wang ringgit. RM500 diperlukan setiap hari untuk kos jamuan yang melibatkan purata 100 orang setiap kali sungkai.

Dua hari lepas saya meninjau borang di surau berkenaan, sudah dua pertiga daripada sejumlah kos sudah ditampung oleh jamaah yang prihatin. Tinggal sedikit lagi masih kosong, itu pun saya menjangka beberapa hari ini akan penuh.

Selain pahala bagi mereka yang bersedekah, Insya Allah, Dia akan memberikan pahala berpanjangan kepada mereka yang mengusulkan cadangan ini pada peringkat awal. Antaranya, Hj Omar Tompang. Semoga Allah memberi pahala kepada beliau.

Untuk Surau Austral, hubungi Abang Jamil Dan untuk maklumat lanjut 013-8604001.

(Masjid Negeri Sabah, Masjid Bandaraya, Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang juga mengadakan jamuan berbuka puasa).