1) Saya pernah mengajar anak-anak Tunas Bakti secara sambilan satu masa dulu. Tunas Bakti ialah sekolah pemulihan bagi remaja-remaja nakal dan melakukan jenayah juvana di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ada yang berjudi, mencuri dan sebagainya. Mudahnya, macam-macam jenayah mereka lakukan walhal umur masih muda remaja.

Apabila musim Ramadhan dan bertarawih, mereka memujuk saya.

“Ustaz, lapan saja ya?”

“Buat malu saja, adakah patut muda-muda kuat macam kamu sembahyang sikit-sikit”

Mereka tercabar. Yalah, kalau merompak mereka gagah berani, takkan sembahyang mereka jadi lembik dan letih pula.

“Ok..ok. Dua puluhlah ustaz”.

2) Satu hari saya mengimamkan tarawih di Hotel Pan Pasific, Sutera Habour. Menu berbuka jangan kiralah mahalnya. Mau-mau 50 ke 60 ringgit sekepala.

Selesai berbuka ringkas, solat maghrib. Selesai solat maghrib, seorang jamaah berstatus VIP menyapa saya.

“Ustaz, lapan saja ya?”

“Buat malu saja. Makan mahal-mahal. Sembahyang mau sikit. Tak berbaloi langsung”

Beliau tu diam meninggalkan saya. Masa solat dia ikut juga sehingga habis.

3) Kisah daripada Ust Hj Muchlish. Seorang menteri pusat melakukan kunjungan ke kementeriannya di Sabah. Ada majlis berbuka puasa sehinggalah solat tarawih.

Datuk berkenaan berkeras untuk lapan saja sementara majoriti mahu 20. Selesai lapan, datuk berkenaan mengundur diri ke belakang bersama pengikut-pengikutnya (baca  – pengampunya).

Jamaah lain meneruskan solat dengan tenang sehingga selesai. Ustaz menoleh, datuk tadi duduk-duduk saja sambil bersembang dengan pengikut-pengikutnya.

4) Lagi berbuka puasa di hotel. Seorang datuk berunding dengan ADC (juru iring) TYT, Supt. Hj Abd Latif Ibrahim agar memujuk TYT supaya tarawih lapan saja. Hj Latif pun bagitau kepada Tun Ahmadshah permintaan datuk berkenaan.

“Tun, datuk tuu minta lapan saja”. Kata Hj Latif sambil menunjuk ke arah datuk berkenaan yang sememangnya duduk semeja dengan TYT, menunggu masa berbuka.

“Apa kepala lapan?! Datuk tu pemalas tu!”

“Ala haji, kenapa kau bagitau Tun aku yang minta!?” Katanya tertunduk malu.

5) Seorang pegawai tinggi keselamatan negara datang ke Sabah. Pegawai yang mengatur program bersiap untuk mengadakan tarawih lapan rakaat saja.

Datuk berkenaan diberitahu rancangan mereka untuk tarawih lapan.

“Sudah tua-tua begini mau tarawih sikit lagi?”

Usaha pegawai-pegawai untuk mengampu ketua mereka gagal.

6) Malam itu tarawih terakhir. Istana Negeri menjemput ketua-ketua jabatan, wakil-wakil masjid dan pemimpin negeri dan persekutuan hadir.

Saya memberi ruang imam besar memimpin tarawih sementara saya bertindak sebagai bilal. Sebelum bermula, seorang datuk yang berada di saf pertama bertanya saya.

“Ustaz, berapa?”

“Dua puluh”

Solat diteruskan hingga selesai. Setelah itu ada moreh dan kami menghantar tetamu pulang. Habis tetamu pulang, kami bersembang lagi bersama TYT Tun Ahmadshah dan para pengiring.

“Adakah patut, ini malam terakhir tarawih. Boleh lagi dia minta kurang”. Tun memberi komen tentang adegan sebelum tarawih tadi.

‘Sebenarnya ustaz, dia tu mau minta diskaun sama kau, tapi kau berani pula bilang dua puluh. Sama aku dia nda berani minta. Dia tu memang liat sikit bab beribadat ni”.

“Sepatutnya, ini malam terakhir, berabislah tarawih. Tahun depan belum tau kita jumpa lagi” Demikian Tun mengomel gelagat datuk berkenaan.

Sungai Petani, Kedah Darul Aman.