IMG_7063

Selepas ceramah di Surau Kg Rukum Laut, saya meluangkan masa duduk santai sekitar dua jam sambil menjamu selera di Dataran Seafood Bengkoka bersama beberapa guru di sini.

Ust Wan Muhammad Amran, Ust Mahisan Aswadi, Ust Md Muslim dan Ust Ahmad Abrian. Mereka semua bertugas sebagai guru agama di sekolah-sekolah di daerah ini. Pertemuan santai itu turut disertai oleh PPTA JHEAINS Pitas, Ust Kamal Sindong.

Setelah mengisi program dan melihat sendiri di beberapa lokasi, saya membuat beberapa kesimpulan awal.

Pertama, masyarakat Islam sama ada muallaf atau bukan hakikatnya dahagakan ilmu pengetahuan khususnya yang berkait dengan perkara fardhu ain. Perkara itu terbukti dalam dua ceramah di Masjid Kg Kalumpang dan Surau Kg Rukum Laut.

Kedua, sokongan padu daripada para guru sangat diperlukan untuk memperkasa dakwah. Guru yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran, JHEAINS, JAKIM, YADIM, USIA dan seumpamanya hendaknya berganding bahu.

Sambil tidak menafikan kegigihan para guru agama yang sudah bekerja keras menyampaikan risalah Islam ini, masih ramai yang merasa selesa dengan kerja-kerja rasmi sahaja.

Ke sekolah pada waktu pagi sehingga pulang pada sebelah tengahari, dan berada di rumah sepanjang petang dan malam. Tidak ke surau dan masjid, apatah lagi untuk menyampaikan kuliah dan ceramah.

Jauh sekali pada hujung-hujung minggu untuk mengisi program dakwah ke kampung-kampung.

Dalam pertemuan itu juga, saya mengharapkan sahabat-sahabat baru saya ini terus menggerakkan program-program dakwah walaupun di luar bidang tugas rasmi kerajaan. Guru agama di sekolah hendaklah bekerjasama erat dengan JHEAINS di daerah.

Buat permulaan, mana-mana masjid dan surau yang belum pernah mengadakan apa-apa program, mulakan dengan program ceramah sempena hari-hari kebesaran Islam digandingkan dengan acara kebajikan.

Pemeriksaan kesihatan percuma, penyampaian bantuan, dan seumpamanya. Buatkan sesuatu yang menarik perhatian mereka, sama ada lelaki perempuan, muda dan tua.

Peringkat kedua, mengadakan ceramah bulanan. Jika berkemampuan, bawa penceramah dari luar daerah.

Peringkat ketiga, mengadakan kuliah maghrib mingguan. Adakan subjek yang penting seperti aqidah, fikah atau akhlak. Pada peringkat ini, ia memerlukan istiqamah dan kesungguhan yang kuat daripada semua pihak.

Peringkat keempat, kuliah-kuliah maghrib ditambah kepada 2 atau 3 kali seminggu. Juga memulakan kuliah subuh mingguan. Selain itu, program khusus untuk remaja dan kaum ibu juga perlu difikirkan.

Sebenarnya, mengadakan program ini memerlukan usaha yang panjang dan tersusun. Ia tidak bermula jika para guru sendiri tidak mengimarahkan masjid dan surau yang berhampiran dengan tempat mereka tinggal.

Jika diperlukan, saya akan hadir lagi untuk berjumpa masyarakat dan para guru. Perbincangan lanjut boleh diusahakan.

Atas kapasiti setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah, saya bersama rakan-rakan sedia menghulur bantuan idea dan tenaga.