IMG_6917

IMG_6928

Lokasi berikutnya ialah Kg Pandan Mandamai, sebuah perkampungan ladang kelapa sawit.

Dari Kg Berasan Taka ke sini tidaklah terlalu jauh, sekitar 15km sahaja. Membuatkan perjalanannya lama tiba ialah 11km terakhir ke lokasi, jalannya belum berturap. 40 minit di atas jalan, baru kami tiba.

Mujur perjalanan kami menaiki Toyota Hilux yang lasak. Terima kasih Tuan Hj Abu Aslam yang meminjamkan hilux dan anaknya sekali sebagai pemandu.

Sebelum tiba di rumah ketua kampung, saya menjangkakan programnya hanyalah sedikit tazkirah dan menyampaikan sumbangan. Rupanya, ada majlis pengislaman.

Beberapa pegawai dan kakitangan JHEAINS sudah terlebih dahulu tiba menanti dan menyambut kami sebelum memulakan majlis istimewa itu. Mereka tidak memulakan majlis selagi kami tidak sampai.

Dalam majlis itu, 8 orang sekeluarga memeluk Islam sementara seorang lagi ahli keluarga mereka tidak dapat hadir kerana berada di kawasan yang jauh.

Asalnya saya ditawarkan untuk menyampaikan tazkirah dan mengislamkan mereka.

Walaubagaimanapun saya mencadangkan seorang imam yang hadir sama, iaitu Imam Ismail Estin memimpin kesemuanya khususnya tazkirah disampaikan dalam bahasa dusun yang lebih difahami mereka yang hadir.

Sesi pengislaman dimulakan dengan Pakcik Mohammad Ali @ Ito, 58 tahun.

Sebenarnya, ini kali ketiga beliau memeluk Islam. Kali pertama pada 1964 pada zaman USNO, kali kedua 1983 pada zaman pemerintahan BERJAYA.

Masalah yang terdahulu itu ialah kerana tiada tindakan susulan dan mereka tidak tahu apa-apa setelah mengucapkan kalimah syahadah sehingga diislamkan kali kedua. Begitulah juga daripada pengislaman kali kedua sehingga kini.

Mereka kembali kepada kebiasaan mereka sebagai pagan. Mujurnya, dia masih mahu memeluk Islam. Imam Ismail menjelaskan, program pengislaman kali ini atas inisiatif mereka sendiri.

Saya mengingatkan staf JHEAINS agar perkara lama tidak berulang. Penjadualan guru agama agar masuk ke perkampungan ini perlu dibuat. Bantuan guru-guru agama di sekolah juga dituntut sama.

Saya tabik dengan kesungguhan staf JHEAINS yang hadir apabila hanya menaiki perodua kancil berempat dalam keadaan jalan yang teruk.

Amat malangnya JHEAINS Pitas belum lagi dikurniakan kenderaan jabatan untuk memudahkan mereka keluar masuk kampung.

Saya syorkan kepada PPTA JHEAINS Pitas agar merayu kepada ibu pejabat JHEAINS dengan menyertakan justifikasi keperluan kenderaan khususnya 4×4 kepada mereka.

Menurut maklumat yang saya perolehi, berdasarkan statistik 2003, daerah Pitas yang seluas 141, 935 hektar ini mempunyai 36 ribu penduduk dengan 48% beragama Islam, sementara bakinya pagan dan kristian.

Pitas pula dikenali antara daerah termundur di Malaysia. Saya menyaksikan sendiri melalui mata kepala melihat kesusahan mereka serta latar pendidikan yang rendah.

Selepas Pakcik Mohammad Ali, pengislaman diikuti oleh bapa mertuanya Galibi Abuk, 70 tahun; Jariah Galibi, 40 tahun (isteri Md Ali), dan anak mereka Dewana Md Ali, 12 tahun.

Yang lelaki, memeluk Islam di tangan Imam Ismail, sementara 2 perempuan berjabat dengan Ustazah Arnidah Abd Sari, 21 tahun, baru setahun sebagai Pembantu Rendah Dakwah di JHEAINS Pitas.

Sementara yang lain Rino, Diana, Azmie dan Jeivivianah masih dibawah umur antara 1 – 9 tahun.

Selesai itu, saya menyampaikan sedikit sumbangan buat mereka sekeluarga. Pakaian terpakai, telekung dan kain pelikat, serta dua set makanan dan barangan dapur.

Masa sudah 6.30 petang, kami perlu bergegas ke lokasi seterusnya. Saya dijadualkan menyampaikan kuliah maghrib di surau Kg Rukum Laut pula.

IMG_6939

IMG_6946

IMG_6958

IMG_6963

IMG_6969