IMG_6799

“Assalamualaikum, tumpang tanya. Di mana Masjid Kg Kalumpang?”

“Oh, jauh lagi tu, bukan di sini. Depan lagi”

Saya kemudian berkerut dahi, tidak faham mendengar penerangannya tentang lokasi yang kami cari. Kami tersesat dan tersalah masuk simpang sebenarnya.

Melihat seorang lelaki berada di tepi rumah, tambahan kami sudah terlambat hampir sejam, saya berani menyapanya.

“Baik tah aku tunjukkan. Kita ikut keretaku di belakang”.

Itulah permulaan detik pertemuan kami selepas 17 tahun tidak bertemu. Ketika itu saya masih belum mengecamnya lagi.

Tiba di masjid yang dimaksudkan, kami bersembang lagi.

“Siapa nama kita aah?”

“Haris”.

Terus kenangan lama menerpa.

“Haris bin Lair?”

“Awu. Sekolah Toh Puan?”

“Ala. Kita bilik 2. Aku bilik 3 bah. Sebelah ja. Inda sangka, jadi imam sudah sekarang yaa..”

Haris orang Kg Ayer Kudat, adalah senior kami di SMAI TPHR. Ketika saya masuk tingkatan 1 penghujung 1991, dia sudah tingkatan 4.

Rakan-rakannya seperti Ust Razali Abd Hamid dan Ust Suffian Amran di SPPIM, KUWASA; Ust Nawir dan Ust Junaidi di SMK Kolombong dan ramai lagi membawa haluan dan kerjaya masing-masing.

Katanya dia menjadi imam qaryah sejak 3 tahun yang lalu, dan ditempatkan di Kg Kerasik, Pitas.

Kini Imam Haris sudah berumahtangga dengan Noraini Maridun, orang Pitas dan punya 3 cahayamata berumur 3, 2 tahun dan seorang bayi 2 bulan. Amar Haziq, Alya Hazwani dan Arifah Aziah.

Di sinilah juga beliau mencari rezeki dan menetap bersama ibunya, dan tidak lagi di Kg Ayer Kudat.

“Kami sudah pindah dari Kudat. Sejak arwah beliau meninggal”. Jelasnya.

Kehadiran saya di sini mendapat kerjasama yang sangat baik daripadanya. Saya mencadangkan sebahagian bahan-bahan yang disumbangkan ke Pitas diserahkan secara rumah ke rumah di Kg Berasan Taka, dan Imam Haris bersedia membantu.

Dia memimpin kami ke setiap rumah yang difikirkannya lebih memerlukan, hanya 6 set diserahkan di sini walaupun yang memerlukan lebih daripada itu. Dia menyapa setiap tuan rumah dengan bahasa sukuan mereka, memohon izin untuk masuk dan menyampaikan sumbangan.

Alhamdulillah, kami semua dapat berinteraksi dan maklumat yang baik daripada penduduk yang diziarahi.

Pandangan awal saya, Imam Haris sudah berubah berbanding dahulu dan saya berharap dapat bekerjasama dengannya lagi satu masa nanti.

Rakan-rakan sekelasnya harap bagi komentar di sini.

IMG_6869