P9020006

Antara aktiviti rutin malam-malam Ramadhan ialah tadarrus al-Quran. Ada beberapa sikap dan kaedah yang perlu diperbetul dan diperbaiki lagi.

1) Tadarrus al-Quran perlu diluaskan bukan setakat di masjid dan surau, bahkan di pejabat, kilang, sekolah, rumah dan sebagainya.

Jika program tadarrus kali pertama di rumah, pejabat dan sebagainya, jangan tekankan soal khatam dahulu. Dibimbangi akan membebankan ahli kumpulan yang belum biasa. Kalau hanya mampu 10 juzu’, tahun hadapan sambung lagi.

2) Fahami konsep tadarrus yang sebenarnya. Iaitu sekumpulan ahli yang mempelajari al-Quran. Seorang membaca dan yang lain mendengar dan menyemak.

Sebaik-baiknya, dalam kumpulan itu ada yang mahir tentang ilmu tajwid khususnya supaya boleh menegur kesalahan. Kalau ada yang faham ilmu tafsir lagi bagus, untuk  menerangkan bacaan malam itu secara mudah dan ringkas.

3) Teruskan majlis tadarrus ini walaupun sudah habis Ramadhan. Jika belum mampu setiap hari / malam, buat seminggu sekali. Buat sedikit lebih baik daripada tiada langsung. Pembudayaan baca dan tadarrus al-Quran hendaklah diteruskan.

4) Antara budaya ingin cepat khatam ialah, membahagi-bahagikan juzu’ lebih awal dan kemudiannya masing-masing baca di rumah. Hanya bertemu malam 27 Ramadhan untuk majlis khatam. Daripada sudut makna dan konsep tadarrus, ia silap.

5) Ada pula sesetengahnya, hanya menyuruh kumpulan anak muda bertadarrus, sedangan golongan veteran dibiarkan bersembang di beranda masjid dan surau. Tuntutan baca al-Quran tidak mengira umur. Orang yang lebih berusia kena beri tauladan kepada yang muda.

6) Ada pula yang menyuruh seorang ahli kumpulannya memulakan dulu, sedangkan yang lain menikmati jamuan moreh lepas tarawih. Kemudian seorang pula ganti, yang baca tadi pergi makan pula. Itu bukan tadarrus namanya, tapi tabarus.

Tabarus dalam bahasa brunei ertinya kuat makan.

Sedutan kuliah maghrib di Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas. Selasa malam rabu.