Jalan_Ketaqawaan_500

Buku yang menjadi buah tangan beliau

Kita ada seminggu lagi untuk menyambut Ramadhan. Ada orang suka, tidak kurang yang masam dengan ketibaan bulan penuh barakah ini.

Bagi yang menanti-nanti kedatangannya, bermacam-macam perancangan dilakukan. Hendak tarawih di mana, sedekah berapa banyak, gerai bazar Ramadhan, dan bermacam-macam lagi.

Sebagai seorang Islam, segala perancangan kita lapik dengan ucapan insya Allah. Mudah-mudahan Allah SWT mengizinkan rancangan baik kita berjalan dengan lancar.

Seminggu menjelang Ramadhan, kita tidak mengetahui adakah umur kita sampai atau tidak. Adakah kita dapat beribadah sehingga ke hujungnya, atau gugur di tengah jalan.

Mendengar berita pemergian Ustaz Asri Ibrahim, ketua kumpulan nasyid Rabbani  kembali kerahmatullah pagi ini, hati saya berdebar-debar.

Sementara Ust Asri sendiri dilihat sebagai antara artis nasyid yang sangat konsisten membawa suara Islam di dalam nasyidnya. Baca komen Ust Nasruddin Tantawi di sini.

Dalam program festival nasyid Negeri Sabah, Allahyarham pernah dijemput untuk menjadi juri beberapa kali. Tidak salah kali terakhir pada 2005.

Jauh sebelum itu, sejak beliau bersama Nada Murni sehingga ke Rabbani, suara emasnya telah menemani hidup kita dengan dendangan solawat, zikir munajat dan lagu-lagu nasyidnya. Baca lagi di sini dan di sini .

Allah SWT menjemputnya sebelum sempat menemui Ramadhan tahun ini, dalam keadaan kumpulan Rabbani sudah mengatur beberapa program sempena majlis-majlis berbuka puasa tahun ini.

Kebetulan petang semalam saya membaca beberapa artikel tentang beliau, antaranya nasihatnya kepada Ust Akil Hayy dan rancangan kumpulan nasyid beliau dalam Ramadhan.

Melihat janazah orang terkujur, jangan memandang jasadnya sahaja. Bayangkan kalau kita di situ. Masa ada seminggu untuk Ramadhan, nasib kita belum tahu.

Terkenang lagu pergi tak  kembali, dendangan Ust Asri dan kumpulannya, bulu roma saya meremang. Cukuplah kematian menjadi pengajaran. Inna lillah wa inna ilahi raji’uun. Al-Fatihah.

“Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan, agar kami boleh beramal dan mengambil segala kelebihan yang ada di dalamnya”.

“Ya Allah, janganlah Engkau mengambil nyawa kali dalam keadaan mengejut”.