gal22

Sepanjang minggu lalu saya bercuti penuh. Apabila masuk pejabat mulai hari ini, banyak surat dan kad berjuntun di atas meja.

Antara surat yang diterima ialah jemputan menghadiri Majlis Konvokesyen Darul Quran kali ke 18 tahun 2009 / 1430H yang berlangsung di Dewan Muktamar Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu pada sabtu 8 Ogos lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setiap tahun saya menerima jemputan pihak penganjur bagi meraikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian.

Mungkin jemputan dan penghormatan itu dilakukan atas kapasiti sebagai ahli lajnah tashih al-Quran KDN atau pernah bertugas di institusi tahfiz agaknya.

Walaupun tidak dapat hadir, sebagai graduan dari institusi yang sama, saya bersyukur kepada Allah SWT, institusi tahfiz terus berkembang dan mendapat tempat di hati masyarakat Islam, baik di negara ini atau di tempat lain.

Bermula pada 1966 dengan pengambilan pertama di Masjid Negara, ia terus berkembang sehingga institusi ini dinaiktaraf sebagai salah satu bahagian di JAKIM dan diketuai oleh seorang pengarah.

Pada November 1998, Darul Quran ditempatkan di kampus tetapnya di Kompleks Darul Quran, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu Selangor.

Ketua Pengarah JAKIM hari ini, Datuk Hj Wan Mohammad Datuk Hj Wan Abdul Aziz adalah pengetua Darul Quran ketika kami mengambil peperiksaan akhir diploma di sana pada 1999, sepuluh tahun lalu.

Ramai mengetahui dengan sikap mulia beliau khususnya dalam membela dan membantu pelajar-pelajar dari Sabah, sama ada pelajar Sabah itu menuntut di Darul Quran atau sekadar mengambil peperiksaan diploma JAKIM di sana. Jasa beliau untuk itu tidak kami lupakan.

Sehingga hari ini apabila bertemu dalam mana-mana program sama ada di Sabah atau di KL, beliau tetap menyapa dan mengingati saya.

Kepada semua graduan yang berjaya mendapat diploma, khususnya seorang pelajar saya di Maahad Tahfiz Sabah dahulu, Siti Norafidah Ghulam Rasul, tahniah diucapkan. Semoga diploma itu meransang diri untuk lebih berjaya pada masa hadapan, dunia dan akhirat.

Web rasmi Darul Quran : http://www.darulquran.gov.my/

 IMG_6719