IMG_6178

Tidak sedikit yang merungut, khususnya ribuan penghuni di dalam Taman Kingfisher dalam DUN Karambunai apabila jambatan yang menghubungkan taman mereka dengan jalan utama masih tidak diperbesarkan sehingga kini.

Menurut beberapa penduduk di sana, sejak Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (KPKP) bersebelahan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dibuka lebih beberapa tahun lalu, jalanraya bertambah sesak dengan kenderaan yang semakin banyak.

Kata mereka, untuk melepasi kawasan taman menuju ke jalan utama melalui jambatan dari rumahnya sahaja adakalanya memakan masa lebih setengah jam sedangkan sepatutnya ia tidak melebihi 2 minit pun.

Pihak berkuasa terutama orang politik pernah menjanjikan untuk melebarkan jambatan ke taman berkenaan bersesuaian dengan kapasiti ribuan penduduk taman.

Jambatan berkenaan masih kekal dengan laluan 2 hala dan 2 lorong sedangkan jalanraya di taman dan jalan utama 2 hala sudah diperbesarkan kepada 4 lorong.

Selain penduduk taman, jambatan berkenaan juga adalah laluan utama ke Kg Bangka-Bangka dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas.

Untuk rekod, kawasan Teluk Likas ini menempatkan Menara Tun Mustapha, Wisma Innoprise yang menempatkan pejabat Ketua Menteri, Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (KPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta 1Borneo sebuah kompleks membeli belah utama di Sabah.

IMG_6179