IMG_6326

Hajat awal saya hendak berkampung di Tambunan sehingga selesai semua program pada tengahari ahad.

Apakan daya, memandangkan isteri baru bersalin dan saya punya kuliah di Kg Lok Kawi Baru pada malam minggu, saya terpaksa meninggalkan program yang sedang berlangsung.

Slot saya sudah berakhir pada pagi sabtu. Sebenarnya saya hendak sangat menyertai slot-slot lain, di mana para penceramah dibawa ke kampung-kampung untuk kuliah-kuliah maghrib.

Petang sabtu, saya kembali ke Kota Kinabalu. Dalam perjalanan balik, saya singgah di Restoran Puncak Azam, yang sudah beroperasi genap setahun lalu.

Sebuah restoran milik orang Islam dan menyediakan menu masakan muslim. Antara menu utamanya ialah sup, soto, mee, pelbagai jenis nasi dan mee goreng, pelbagai masakan ayam dan daging serta tomyam.

Saya dimaklumkan juga mereka menerima tempahan katering.

Daripada segi lokasinya, restoran ini terletak di km 54 jika dari Kota Kinabalu. Jika dari Tambunan, restoran ini berada selepas Gunung Alab dan sebelum Gunung Emas, dengan suhu nyaman dan segar sekitar 14 darjah selsius.

IMG_6325

Selain pemandangan indah dapat disaksikan dari dalam restoran ini, ada satu lagi keistimewaan di sini. Di sisinya terdapat satu bangunan kecil yang dijadikan surau bagi kemudahan musafir beragama Islam.

Perlu diketahui, jika kita berkelana dari Penampang, inilah satu-satunya surau yang akan ditemui sepanjang perjalanan. Surau atau masjid berikutnya hanya kita temui di Rumah Anak Yatim di Tambunan.

Saya berpendapat, adalah wajar kita membantu restoran ini dengan sesekali singgah di  sini jika  melalui jalan Penampang-Tambunan ini. Apatah lagi pemiliknya seorang muslim yang komited dengan agama ini.

Restoran ini dibuka sepanjang hari bermula sekitar 8 pagi dan berakhir pada 10 malam. Hubungi chef Zainal 010-9378035.

Tahniah kepada Tuan Ahadin sekeluarga bersama pasukan restorannya.

IMG_6323