Archive for Julai, 2009


NAZAK

IMG_1608

Pagi-pagi saya mendapat sms daripada Chegu Jamil bahawa Puan Hajjah Zaleha Abdullah, 60 tahun seorang aktivis dakwah yang cekal di Kota Marudu, sedang nazak di Pusat Perubatan Sabah (SMC) Luyang.

Menurut Dr Kahtleen yang memberi taklimat kepada kami yang hadir menjelaskan, kuman yang bermula di lengan kirinya mula merebak ke seluruh anggota tubuhnya. Selain itu, pakar juga mendapati kerosakan di buah pinggang beliau.

Beliau dahulunya pernah bertugas di JHEAINS Kota Marudu. Walaubagaimanapun setelah bersara daripada perkhidmatan awam, tugas menyebarkan Islam tidak pernah ditinggalkannya.

Satu-satunya pertemuan saya ialah ketika kami berziarah ke Kg Tororom, Kota Marudu hujung April lalu untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga muallaf yang memeluk Islam 12 orang sekaligus, yang saya fahami Islam di tangan beliau.

Ketika itu pun kami memang nampak beliau uzur tetapi tetap menggagahkan diri juga hadir dan menunjukkan kami rumah yang dituju. Kisah program kami itu ada di sini.

Beliau yang tinggal di Kg Damai, sebenarnya adalah seorang muallaf juga. Kesungguhan beliau untuk menyebarkan Islam sangat dikagumi.

Kini semua anak-anaknya seramai 7 orang itu ada bersamanya di SMC sedang beliau dalam keadaan koma dan agak tenat. Doakan beliau agar pulih sediakala. Yang sudi, datanglah.

“Ya Allah, hilangkanlah kesakitannya..”

IMG_5969

Masa Nabi turun naik mi’raj itu, Nabi dapat diskaun daripada Allah. Sembahyang diwajibkan 5 kali sehari..”

Saya tersenyum mendengar ungkapan yang dilafazkan oleh saudara Abu Bakar, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) ketika beliau sendiri menyertai pertandingan pidato semalam.

Semalam, SAHABAT mengadakan sambutan Isra’ & Mi’raj di bangunan Madrasah Islamiah, Sembulan yang juga lokasi mingguan kelas Teratak Fitrah diadakan saban sabtu.

Terdapat 6 peserta pidato dengan Abu Bakar sebagai wakil tunggal lelaki manakala 3 peserta pertandingan azan. Yang hebatnya, beliau sendiri bertindak sebagai pengerusi majlis mempersilakan dirinya sendiri sebagai peserta pidato di hadapan 140 audien kalangan saudara kita.

Saya kurang maklum siapa yang menang, kerana terpaksa meninggalkan majlis berkenaan sejurus Ust Awwaluddin memulakan ceramah Isra’ & Mi’raj kerana jam 2 petang saya punya ceramah pula di Kota Belud.

IMG_5958

IMG_5965

IMG_5970

IMG_5971

IMG_5977

IMG_5949

Kira-kira 100 orang hadir dalam Majlis Tahlil Perdana dan ceramah yang dipimpin oleh Dr Md Bakhir Abdullah, Dekan Fakulti Bahasa Arab Universiti Insaniah Kedah di Surau Austral semalam.

Objektif program itu sebenarnya adalah bagi mengutip dana untuk pembangunan Pusat Pendidikan Islam an-Nur yang terletak di hadapan surau berkenaan.

Abu Nuha Corner dimaklumkan pihak sekolah memerlukan RM40 ribu bagi membiayai kos pembangunan yang hampir selesai. Sumber memberitahu setakat ini pihak sekolah sudah menerima sumbangan lebih RM10 ribu.

Selain program di Surau Austral, Dr Bakhir juga mempunyai jadual yang sangat padat dengan ceramah sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan.

Walaupun Majlis Tahlil Perdana sudah berakhir, pihak sekolah masih mengalu-alukan sumbangan umat Islam seluruh negara bagi membantu kos pembinaan bangunan sekolah.

Maklumat lanjut, boleh layari blog Pusat Pendidikan Islam an-Nur di http://sarannur.blogspot.com/

IMG_5953

IMG_5954

IMG_5947

Pagi semalam saya mengisi program ceramah Isra’ Mi’raj di Jabatan Akauntan Negara Negeri Sabah di Wisma Perindustrian, Likas.

Kali ini saya menggunakan tayangan power point, dan sebelum itu saya sempat juga menayangkan klip aktiviti Persatuan Ulama’ Malaysia Negeri Sabah selama 5 minit kepada kira-kira 40 warga mereka yang hadir.

Hasrat saya hendak memberikan maklumat dan kesedaran kepada audien bahawa masyarakat sangat memerlukan bantuan terutama berbentuk dana kewangan, tunjuk ajar dan seumpamanya.

Terlalu ramai umat Islam yang masih hidup susah dan melarat, berkembangnya gejala riddah dan tidak peduli agama, ketipisan ilmu pengetahuan tentang Islam dan sebagainya.

Selaku NGO Islam yang tidak pernah putus dan jemu dengan program yang pelbagai, kami membuka ruang audien untuk turut menyumbang; yang di dalam Islam dinamakan sebagai dakwah bilhal.

Dalam ceramah berkenaan, selain latar belakang peristiwa yang perlu difahami, saya juga menyentuh beberapa gambaran dan tamsilan yang ditemui oleh Rasulullah SAW dalam perjalanannya.

Menurut bacaan dan pemahaman saya, tamsilan-tamsilan itu diperlihatkan dalam perjalanan setelah baginda melalui baitullaham, tempat kelahiran Nabi Isa AS, sehinggalah baginda SAW tiba di Masjid al-Aqsa.

Allah SWT telah memperlihatkan projek-projeknya kepada baginda SAW, bagi orang yang melakukan kebaikan dan keatas pelaku kejahatan supaya menjadi teladan dan sempadan kepada kita semua.

Terima kasih kepada semua. Saya menanti sumbangan warga Jabatan Akauntan untuk program kami seterusnya. 

IMG_5941

IMG_5944

USTAZ FARHAN ABDULLAH

IMG_5930

Malam tadi saya sedikit berkesempatan bertemu dengan sahabat lama ini.

Pertemuan kami bersama beberapa rakan lain, adalah untuk membuat kerjasama program dakwah untuk kemaslahatan umat di Sabah.

Ustaz Farhan adalah rakan sekelas ketika di Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra Kaherah sepanjang 2000-2003. Bukan setakat itu, kami sepenerbangan pergi, dan pernah duduk serumah dan sebilik dalam beberapa ketika.

Ustaz Farhan dari pandangan saya sebagai seorang rakan, adalah seorang yang sangat berani mencuba walaupun kelihatan berisiko besar program yang bakal dijalankan. Dengan suara hidungnya, ceramahnya juga selalu menarik perhatian ramai orang.

Ketika ke Mesir pada 28 Ogos 2000, dia meninggalkan isteri dan 3 anaknya di tanahair. Kini bukan setakat anak bertambah kepada 7 orang, Ust Farhan sudah ada isteri kedua dari Negeri Sembilan yang dinikahi 3 tahun lalu.

Dua daripada 7 anaknya setakat ini, adalah hasil isteri kedua. Katanya tadi, dia berhasrat lagi menambah kedua-duanya. Anak dan isteri. Mungkin jodoh ketiganya orang Sabah pula.

Ust Farhan dikenali ramai di Semenanjung dengan aktiviti dakwahnya, juga punya sedikit ruang untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di UKM. Ramai mengenali beliau selaku aktivis dakwah yang pernah hidup dalam agama kristian.

Setelah memeluk Islam pada awal 1990, dia mengaji di PERKIM Kelantan sebelum menyambung di Darul Quran Kuala Kubu Baru.

Aktivitinya kini berpusat di Serdang dan Bangi, dan di Sabah katanya sudah punya 3 sekolah tahfiz. Dua di Kota Belud dan satu di Alam Mesra berhadapan dengan UMS. 

Oh ya, Ust Farhan sebenarnya berasal dari Kota Belud Sabah.

IMG_5926

Jabatan Bomba dan Penyelamat di Sembulan bukanlah asing bagi saya dan rakan-rakan yang pernah bersekolah di SMAI TPHR KK. Khususnya bagi penghuni blok A di asrama putera, kawasan bomba itu terletak seberang jalan di hadapan jendela kami.

Dahulunya saya pernah masuk ke kawasan ini, untuk menyaksikan perlawanan bola tampar antara pasukan sekolah dengan warga bomba. Menarik dan sengit walaupun seingat saya pasukan kami selalu tewas.

Malam ini saya datang sekali lagi, tetapi untuk mengisi program ceramah agama mereka. Asalnya ceramah berkaitan kekeluargaan, dan kemudian diminta menyelitkan sekali perihal integriti penjawat awam.

Ayat al-Quran yang menjadi panduan ceramah kali ini ialah sepotong ayat yang dibaca dalam doa iftitah :

“Sesungguhnya solat kami, ibadah kami, hidup kami dan mati kami semuanya kerana Allah..”

Niat yang tulus, aqidah yang mantap, kefahaman yang jelas tentang makna dan konsep ibadah akan melahirkan manusia yang berintegriti. Tidak hanya di tempat kerja, tetapi juga di mana sahaja ia berada.

Memahami maksud keikhlasan, kewujudan malaikat serta hari kebangkitan dan gerakerja yang tepat menurut syariah. Setiap manusia adalah bertanggungjawab terhadap diri dan orang yang di bawah pimpinannya.

Rasulullah SAW adalah teladan paling jelas sekali. Baginda telah menunjukkan pekerti mulianya dalam semua keadaan. Kepada isteri, anak, cucu, sahabat, bahkan kepada musuh sekalipun.

Terima kasih atas jemputan, khususnya kepada tuan pengarah – tuan Khirudin Drahman, yang saya kenali sangat baik dan bersemangat orangnya. Saya lihat mereka gembira dengan program ini. Mudah-mudahan ia berterusan.

Lebih kurang 150 orang yang hadir, bersama ahli keluarga masing-masing, asyik gelak sakan saja. Jangan ingat yang lucu saja, ingat sama teladan dan iktibarnya.

Beralih keluar meninggalkan kawasan mereka, saya diberikan tabik oleh pengawal.

IMG_5927

IMG_5928

Tarikh : 08 Ogos 2009 (Sabtu)

 

Masa : 8.00 pagi – 5.00 petang

 

Tempat : Dewan Auditorium SIRIM Berhad, No. 1, Persiaran Dato’ Menteri, seksyen 2, Shah Alam, Selangor

 

Anjuran : Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL), Persatuan Kakitangan Islam SIRIM (PERKIS), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia

Tajuk dan Pembentang :

”Standard Halal MS 1500:2004 – Pengenalan” – Ustaz Mohd Yusof Arbain (SIRIM Berhad)

“Babi Menurut Perspektif Aqidah Islam Dan Agama-Agama Lain” – Ustaz Rumaizi bin Ahmad (PUM Selangor)

“Ikhtilaf (Perbezaan Pendapat) Ulama Dalam Masalah Babi” – Ustaz Mohd Nidzam Abdul Kadir (UIAM)

“Pendekatan Istihalah (Transformasi) Dalam Produk Yang Berunsurkan Babi” – Dr. Saadan Bin Man (APIUM)

“Penggunaan Babi Dalam Sains dan Teknologi” – Prof. Dato’ Dr Sheikh Omar Abdul Rahman (UPM)

“Keperluan Penternakan Babi Moden di Malaysia”– Prof Madya Dr. Loh Teck Chwen (UPM)

“Penternakan Babi dan Hak Bukan Islam Dalam Negara Islam : Satu Tinjauan Berdasarkan Siyasah Syar’iyyah dan Sejarah Islam” – Dr. Mohd Roslan Mohd Nor (APIUM)

“Bahan-bahan Babi dalam Kepenggunaan Menurut Pandangan Hukum Fikah” – Ustaz Haji Zainal Abidin Jaafar (HDC)

“Aplikasi Sains Dalam Mengesan Produk Babi Dalam Makanan Dan Perubatan”– Prof Madya Dr. Suhaimi Mustafa (UPM)

”Babi dalam Pendidikan Veterinar : Suatu Panduan Menurut Fikah”– SS. Dato’ Setia Hj. Mohd Tamyes Abdul Wahid (Mufti Selangor)

Yuran Penyertaan :

Pertubuhan / Agensi Jabatan : RM150.00; Individu : RM 50.00;  Pelajar / Mahasiswa (Ijazah Pertama) : RM 10.00. (Bayaran adalah untuk seorang peserta meliputi kertas seminar dan makanan).

Pendaftaran Penyertaan : Sila buat pendaftaran sebelum atau pada 06 Ogos 2009 dengan menghubungi:

Talian : 013-384 0710 (Azmi), 013-3007 193 (Sarah), 013-2221 579 (Ahani) 03-7955 4300 (PUM) Faks : 03-7955 4300 (PUM)

Email : pumpusat@yahoo. com.  Blog : http://ulamadaily.blogspot.com 

Alamat : Persatuan Ulama’ Malaysia, 8-4, The Right Angle, Jalan 14/22, Sekysen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.  http://www.e-ulama.org/  

 

Ust Hj Md Ilham (kiri) bersama Dato Hj Sallehuddin Omar

Ust Hj Md Ilham (kiri) bersama Dato Hj Sallehuddin Omar

 

Salah seorang lagi tenaga lajnah tahsih al-Quran KDN yang senior ialah Ust Hj Md Ilham Hj Ihsan. Berumur 62 tahun (lahir 1948), beliau berasal dari Sabak Bernam.

Ust Hj Md Ilham sebenarnya adalah salah seorang pelajar tahfiz daripada kumpulan yang kedua pada 1969-1971 di Masjid Negara setelah kumpulan sulung menyelesaikan pengajian mereka pada 1965-1968.

Menurut Ust Hj Md Ilham, kumpulan mereka ada seramai 12 orang.

Selain beliau sendiri, rakan-rakannya ialah Ust Hj Abd Ghaffar Rijim (Sabah), Ust Hj Salleh Yakob (Sabah), Dato’ Sheikh Hj Mohammad Nor Mansur (Perak), Ust Salam Mohammad (Terengganu), Allahyarham Ustaz Zainul Noh (Kedah), Dato’ Hj Shaa’ri Abdullah (Johor), Ust Mohammad Saman (Melaka), Ust Syam Talib (Sarawak), Ust Ahmad Badawi Abdullah (Pahang), Ust Hassan Mahmud (Perlis) dan Ust Hj Zaharuddin Hj Ahmad (Negeri Sembilan).

Ketika itu guru yang membimbing mereka ialah Tuan Hj Ismail, orang Johor yang pernah bertugas sebagai qadhi dan mengaji di Mesir sebelum itu.

Antara pelajaran yang diajar selain menghafaz al-Quran ialah Rasmul Quran, Tafsir, Qiraat dan lain-lain lagi.

BERANGKAT KE MESIR

Seterusnya, pada 1975 Ust Hj Md Ilham berangkat ke bumi Mesir untuk melanjutkan pelajaran di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra Kaherah bermula pada kelas Aliyah selama 4 tahun dan kemudiannya pengkhususan qiraat selama 4 tahun.

Lapan lagi sahabat sepengajiannya turut melanjutkan pelajaran bersama-sama ke Mesir manakala baki yang lain meneruskan aktiviti dakwah ke dalam masyarakat.

AKTIVITI PERSATUAN

Ketika di Mesir, Ust Hj Md Ilham pernah menjadi Yang diPertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan menjadi Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada awal 80an selama setahun.

Bukan itu sahaja, selesai pengajian di Maahad Qiraat, beliau tidak terus pulang.

Beliau mengambil peluang mempelajari ilmu khat secara serius dan formal melalui sekolah khat selama 4 tahun yang dipanggil Tahsinul Khutut yang terletak di Medan Jaisy, Atabah.

JADI JURUHEBAH RADIO

Menurut Ust Hj Ilham, di Mesir beliau pernah bertugas sebagai juruhebah radio Suara Malaysia.

Pada ketika itu, terdapat empat petugas dari Malaysia yang kesemuanya merupakan pelajar. Radio Suara Malaysia hanya bersiaran 4 hari seminggu selama 2 jam mulai 4 petang melalui studio mereka di Tahrir.

Antara tugasan beliau dan rakan-rakan juruhebahnya ialah menterjemahkan berita-berita berbahasa Arab ke dalam bahasa Melayu sekaligus menjadi penyampainya.

Begitu juga mereka akan melakukan temuramah dengan pemimpin negara yang datang berkunjung ke sana.

Tugasan sebagai juruhebah radio memberikan pendapatan sampingan beliau di sana, tambahan lagi ketika itu beliau sudah pun berkeluarga.

Pernah beliau mempunyai pendapatan sehingga LE300 yang dianggap mewah bagi kehidupan orang Mesir, sehingga beliau pernah memiliki kereta dan motorsikal.

KEMBALI KE TANAHAIR

Puas mengutip pengalaman di bumi orang, pada 1989 beliau sekeluarga kembali ke Malaysia. Tidak lama berehat, beliau terus bertugas di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ), Pusat Islam sebagai pensyarah tahfiz sehingga 1991.

Mulai 1991 pula, beliau berkhidmat di negeri sendiri dan menjadi pensyarah di Maahad Tahfiz Selangor yang beroperasi di Masjid Negeri, Shah Alam sehingga bersara pada 2003.

Sejak bersara, aktiviti dakwah beliau terus berjalan dan berkembang. Tumpuan mengajar al-Quran dan kuliah-kuliah maghrib di merata tempat khususnya di Shah Alam.

Sejak kembali ke tanahair, khidmat kepakaran beliau juga dimanfaatkan sebagai ahli lajnah tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), sehingga kini.

Beliau juga merupakan hakim bagi Majlis Tilawah al-Quran Negeri sejak 1989 dan hakim Majlis Tahfiz al-Quran peringkat negeri Selangor sejak tahun 2000.

Kepakaran beliau dalam ilmu khat juga dimanfaatkan apabila dilantik sebagai guru khat di Yayasan Restu sejak awal 2000 sehingga kini.

Mudah-mudahan Allah SWT memberi umur yang panjang serta kesihatan yang baik kepada beliau dan isterinya Ustazah Khamsatun Hj Ibrahim serta 5 orang anak beliau yang kini  berumur antara 35 hingga 13 tahun serta dua cucu dan dua menantu.

POSTER KARNIVAL 2009

JADUAL AKTIVITI SEPANJANG KARNIVAL KESENIAN ISLAM NEGERI SABAH 2009

 BIL

 ACARA 

 TARIKH,  MASA DAN VENUE

1 Bicara Seni
  • 18-22 Julai 2009(Sabtu-Rabu)
  • RTM Sabah
2 Ekspo dan Persembahan Terbuka
  • 20-23 Julai 2009 (Isnin-Rabu)
  • 9.00 pagi-11.00 malam
  • Ruang Legar Wisma MUIS
3 Majlis Pelancaran Karnival Kesenian Islam
  • 21 Julai 2009 (Selasa)
  • 8.00 pagi -10.00 pagi
  • Ruang Legar Wisma MUIS
4 Festival Seni Kompang Peringkat Negeri 
  • 21 Julai 2009 (Selasa)
  • 10.00 pagi -12.00 tengahari
  • Ruang Legar Wisma MUIS
5 Konvensyen Halal
  • 21 Julai 2009 (Selasa)
  • 8.30 pagi – 4.30 petang
  • Universiti Malaysia Sabah
6 Nadwah Sastera Islam dan Sayembara Pengucapan Puisi Islam
  • 21 Julai 2009 (Selasa)
  • 8.00 pagi – 5.00 petang
  • Dewan Saadah Wisma MUIS
7 Festival Seni Marhaban Peringkat Negeri
  • 21 Julai 2009 (Selasa)
  • 2.00 ptg-5.00 petang
  • Ruang Legar Wisma MUIS
8 Festival Nasyid Peringkat Negeri
  • 21 Julai 2009
  • (Selasa)
  • 7.00 malam-11.00 malam
  • Dewan Saadah Wisma MUIS
9 Bengkel dan Pertandingan Menulis Seni Khat
  • 22 Julai 2009 (Rabu)
  • 8.00 pagi – 12.00 tengahari
  • Ruang Legar Wisma MUIS
10 Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Festival Nasyid, Kompang, Marhaban, Anugerah Al-Farabi dan Anugerah Penyair Islam 
  • 22 Julai 2009 (Rabu)
  • 7.00 malam-10.30 malam
  • Dewan Saadah Wisma MUIS

Dalam buletin pagi tv3 tadi, ada dimaklumkan fenomena air pasang akan bermula hari ini sehingga 27 Julai khususnya di Pantai Barat Sabah. Katanya, ketinggian air mencecah 1.5 hingga 4 meter.

Berita itu sedikit sebanyak membimbangkan orang yang tinggal di tepi pantai dan di tepi laut sama ada rumah kampung atau taman perumahan.

Pagi tadi saya berhenti seketika di tepi jalan Kg Dumpil, melihat air laut yang kelihatannya mulai naik.

Tuan-tuan yang tinggal di lokasi seumpama itu, saya cadangkan kita berjaga-jaga dan menghubungi pihak berwajib seperti Jabatan Kaji Cuaca untuk mendapat maklumat semasa.

Sila rujuk jadual penuh air pasang surut di bawah melalui http://www.kjc.gov.my/htdocs2/data/IDM26003.html

%d bloggers like this: