IMG_6314

Jam 4 petang, saya meninggalkan rumah menuju Tambunan. Ditemani 3 anak muda iaitu Nadir, Azman dan Muthahharah.

Hampir jam 7 petang, kami tiba di Rumah Anak Yatim (RAY) Tambunan. Meski kuat hati datang ke sini, secara zahirnya saya agak keletihan kerana kurang tidur dan makan menyebabkan imigran saya datang kembali.

Seronok melihat anak-anak yatim sekecil 8 tahun hingga 17 tahun seramai 150 orang itu duduk tenang mendengar syarahan guru mereka, Ust Mokhtar Zainuddin yang sangat saya hormati.

Saya sendiri teruja melihat Ust Mokhtar mengambil hati anak-anak yatim ini, dengan sesekali dewan solat itu gamat dengan deraian ketawa mereka.

Ya, sebenarnya siapa yang tahu kesedihan anak-anak ini yang sebahagiannya sudah tiada ibu bapa, manakala sebahagian lagi kehilangan salah seorang daripada orang tuanya.

IMG_6188

IMG_6189

***

Kami bergerak ke Masjid Nurul Iman Pekan Tambunan. Ketika ini berlangsung ceramah Tuan Hj Ayub Abd Rahman di hadapan kira-kira 300 yang hadir.

Saya dimaklumkan mereka yang hadir bukan sahaja dari sekitar Tambunan, bahkan dari Pekan Keningau terutama peminat-peminat ceramah agama. Satu suasana yang jarang dilihat dalam majlis-majlis lain seumpama ini di masjid ini.

Terima kasih Hj Ayub ada juga menyebut tentang PUM dan JHEAINS. Sambutan agak hebat, apabila ceramah yang bermula sejak maghrib berakhir pada 9.40 malam.

Sementara itu, surau kecil di Kg Patau juga sesak dengan kehadiran penduduk kampung mendengar ceramah Tuan Hj Nicholas Sylvester di sana. Ceramah khabarnya dipimpin oleh Sdr Janis Abdullah, orang kuat Masjid Negeri yang berasal dari kampung ini.

Malam ini sukar saya menolak pelawaan salah seorang yang amat saya hormati, Ust Hadiq yang mengajak saya bermalam di rumahnya.

Insya Allah jika tiada aral, temuramah akan berlangsung esok. Ingin sekali saya mengetahui susur galur perjalanan dakwah beliau yang mencabar sejak 1974 hingga kini.

Kg Baru, Tambunan.

 IMG_6191

IMG_6196