Jam 9.30 pagi saya sudah berada di Hospital Likas. Menghantar isteri yang mulai sakit perut dengan jarak masa yang dekat.

Bagi yang pernah menghantar isteri ke hospital untuk bersalin, ibu akan ditempatkan terlebih dahulu di bilik penilaian. Pakar akan memeriksa kadar bukaan pesakit sebelum tindakan lanjut dibuat.

Ketika waktu melawat petang tadi, saya datang bersama anak sulung, Nuha.

Jururawat yang memeriksa menyatakan bukaan sudah 5cm. Oleh kerana  isteri saya sudah merasa sakit yang semakin kerap, jururawat memutuskan air ketuban dipecahkan.

Nuha memerhati sayu umminya disorong memasuki ke dewan bedah, sementara kami bergerak pulang ke rumah.

Di dalam kereta, Nuha diam memanjang. Saya tahu dia sedih umminya sakit dan masuk hospital. Walau baru berumur 6 tahun, kini dia bakal menerima adik keempat. Bakat kepimpinannya terhadap adik-adiknya sudah mula kelihatan.

Saya mengambil ruang untuk menasihatinya. Inilah yang selalu saya lakukan apabila sesekali hanya kami berdua di dalam kereta.

Sebagai anak sulung, saya selalu menasihatinya agar menunjukkan contoh yang baik. Mengingatkan dia tentang keperitan seorang ibu melahirkan anak. Doakan ummi selamat serta membantu ummi apabila disuruh.

Mengenang itu, Nuha tidak dapat menahan sebaknya. Akhirnya, air matanya tumpah juga.