IMG_6024

25 Julai 2009, 6.30 petang – 9 malam, Masjid Nurul Hikmah Kg Liang Kota Belud.

Saya kurang maklum apakah punca kampung ini dinamakan dengan nama sedemikian, tetapi sejak masjid ini dibina (dengan status surau ketika itu) pada 1982, bersebelahan dengan masjid ini terdapat taman perkuburan bagi orang-orang Islam.

Bagus juga keadaannya begitu, kerana tiap kali hadir ke masjid jamaah akan melihat kawasan perkuburan ini di sisi masjid. Mudah-mudahan suasana itu mendekatkan mereka kepada agama Allah SWT ini.

Malam ini kehadirannya begitu ramai. Penduduk kampung lain sekitar Kg Liang dimaklumkan turut hadir. Imam Daerah ada memberitahu saya tentang kehidupan orang kampung yang menitikberatkan soal agama.

Pada awal ceramah, saya hanya menjangkakan kehadiran tidak lebih 100 orang. Rupanya, ramai lagi yang mendengar ceramah itu dari beranda dan perkarangan masjid.

Saya baru perasaan apabila solat isyak didirikan, masjid kelihatan sesak termasuk juga kaum ibu serta anak-anak yang turut mengimarahkan masjid.

Dalam ceramah yang ringkas itu, selain menekankan tentang solat, saya juga mencadangkan kepada mereka agar mengadakan kuliah mingguan secara tetap.

Oleh kerana tidak jauh dari situ ada sebuah sekolah, maka pihak JK masjid boleh menjemput ustaz yang bertugas di sana untuk mengisi kuliah mereka.

IMG_6035

Saya juga bertemu seorang sahabat lama yang lebih setahun tidak saya temui.

Md Ekhsan Jafrani, 31 tahun pernah mengaji al-Quran dengan saya ketika saya bertugas di Masjid Negeri. Apabila saya berpindah ke Istana Negeri, kelas itu tetap berjalan dengan sedikit ubaisuai jadual.

Ekhsan mengaji mulai iqra’ sehingga masuk al-Quran. Kelas yang berjalan sehingga lebih separuh al-Quran, tersekat apabila beliau balik kampung hampir 2 tahun  lalu kerana dapat pindah kerja di Hospital Kota Belud yang lebih hampir dengan kampung halamannya.

Dia mendirikan rumahtangga tidak lama selepas itu dan kini sudah punya seorang cahayamata puteri bernama Wafa Saniyyah berusia 5 bulan.

Saya dimaklumkan Ekhsan kini aktif sebagai AJK masjid kampung berkenaan. Alhamdulillah, saya mengharapkan orang muda seperti beliau diberikan ruang untuk berkhidmat dan membuktikan kemampuan demi agama Allah.

Terima kasih atas layanan semua, khususnya kepada Tuan Imam Daerah Hj Madli Mansur. Tidak ketinggalan pengerusi JK masjid bersama seluruh orang-orang kuatnya, serta semua hadirin yang ada malam itu.

Layanan istimewa saya terima sehingga hendak mengangkat pinggan sehabis makan pun tidak dibenarkan. Hidangan siager ikan yu sudah tentu tidak dapat dilupakan. Ada umur panjang kita bertemu lagi.

Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat bertemu orang kampung di sini. Jam 9.00 malam saya bertolak balik dan selamat tiba di rumah sejam setengah kemudian. 

IMG_6029

IMG_6030

IMG_6031

IMG_6033