Pemandangan indah dari Pekan Sipitang

Pemandangan indah dari Pekan Sipitang

 

Kami bertolak sekitar jam 3.40 petang dan singgah solat asar qasar di Masjid Kg Beringis, Papar.

Perjalanan diteruskan, walhamdulillah kami tiba di Pekan Sipitang pada jam 6.00 petang. Sebagaimana dijadualkan kami berhenti untuk makan di Restoran Sri Sipitang, milik keluarga Imam Daerah Tuan Imam Rafaee.

Ketibaan kami disambut mesra oleh wakil-wakil masjid yang terlibat dalam program ceramah. Sementara layanan dan menu makanan lautnya sungguh menyelerakan, bersesuaian dengan kehidupan ramai penduduk di sini yang berkerjaya sebagai nelayan.

Selesai solat maghrib di Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang, barulah kami dibawa ke lokasi masing-masing dan kembali ke Restoran Sri Sipitang jam 10 malam.

Bertemu di Restoran Sri Sipitang semula, masing-masing membawa cerita dari masjid yang baru diziarahi.

Tuan Guru Ust Hj Muchlish Ali Kasim, sememangnya kehadiran beliau dinanti oleh masyarakat Islam di Sipitang, khususnya Masjid Pg Hashim Pekan Sipitang.

Berceramah di sini menjadi satu kelebihan buat beliau kerana pada awal 80an, beliau pernah berkhidmat di bawah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Beliau memahami selok belok kehidupan masyarakat Islam sekaligus memudahkan beliau menyampaikan ceramah dengan berkesan sekali.

Ust Bungsu Aziz Jaafar pula sejak dari Kota Kinabalu telah ditempah awal oleh Masjid Kg Banting. Kehadiran beliau menarik perhatian 3 buah kampung yang berdekatan, khususnya pendekatan beliau berceramah dengan bahasa Brunei, bersesuaian dengan suku kaum Brunei dan Kedayan yang menjadi majoriti masyarakat di sini.

Ust Hj Ithnin Hashim seronok bercerita tentang pengalaman beliau berceramah di lokasi paling hujung dan jauh.  Masjid Sahabat ini letaknya di sempadan 2 negeri Sabah dan Sarawak. Jamaahnya terdiri dari masyarakat 2 negeri dan sambutan yang diberikan juga sangat memberangsangkan.

Ust Hj Ahmad Hafizullah pula dihantar ke Masjid SFI (Sabah Forest Industry). Kehadiran paling ramai dicetak di sini dengan audien melepasi 200 orang. Sudah tentu ia bersesuaian dengan jiwa kepemudaan dan semangat berceramah yang dimiliki oleh beliau.

Ust Zainuddin Lateh bersama masyarakat di Masjid Kg Pantai juga tidak kurang hebatnya. Beliau memuji sambutan dan layanan masyarakat di sini. Keletihan beliau memenuhi program di Kota Kinabalu sebelum tiba di Sipitang seakan hilang dengan layanan mesra mereka.

Ust Hj Nor Azamuddin Umar bersama masyarakat di Surau Kg Naluyan. Beliau memulakan ceramah setelah selesai majlis membaca yasin dan berlanjutan sehingga 2 jam.

Saya sendiri dihantar di Masjid Kg Pelakat, kampung rakan sekelas saya Ustazah Inun Mamit yang menjadi suami rakan karib saya, Ust Rahim Yahya Abd Rahman. Sebelum ceramah, saya diberi taklimat ringkas tentang sejarah dan pembangunan masjid ini.

Imam Qaryah di sini Md Ridzuan Kaplin merupakan seorang anak muda berumur 21 tahun dan masih bujang. Bukan setakat itu, Imam Ridzuan juga diberi kepercayaan sebagai Pengerusi JK Masjid. Ridzuan adalah pelajar kelahiran SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah (2000-2005).

Dalam banyak ceramah malam tadi, sayalah orang terakhir yang menamatkan ceramah pada jam 9.50 malam. Walaupun begitu, kehadiran melebihi 100 orang terdiri daripada orang dewasa lelaki dan perempuan serta anak-anak tidak berganjak sehingga majlis selesai.

Semangat gotong royong mereka juga terserlah, apabila masing-masing setiap rumah membawa juadah masing-masing untuk santapan bersama.

Bagi pihak Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah, saya mengucapkan penghargaan kepada Ust Md Sidik Ag Adi (Tim Pengarah JHEAINS), Ust Md Hafidz Ahmad (PPTA JHEAINS), Imam Hj Rafaee (Imam Daerah), semua imam qaryah, pengerusi dan AJK masjid yang terlibat.

Semoga Allah SWT memberi rahmat kepada kita semua. Insya Allah, program ini akan dilanjut dan diperbaiki daripada masa ke masa serta diperluaskan ke daerah-daerah lain.

 

Menjamu selera di Restoran Sri Sipitang. Terima kasih Imam Rafaee

Menjamu selera di Restoran Sri Sipitang. Terima kasih Imam Rafaee

 

Bergambar kenangan sebelum beredar ke masjid

Bergambar kenangan sebelum beredar ke masjid

Anak-anak damit turut hadir mencengar ceramah

Anak-anak damit turut hadir mencengar ceramah

Bakal pejuang dan pembela Islam masa hadapan

Bakal pejuang dan pembela Islam masa hadapan

Sebahagian beliau-beliau yang hadir..

Sebahagian beliau-beliau yang hadir..