IMG_5611

Ketika melalui Masjid al-Hikmah Kg Pintasan Kota Belud ini tempohari, saya mengingat kembali nostalgia 9 tahun lalu.

Pada Februari hingga Julai 2000, saya bertugas di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Umur saya ketika itu baru mencecah 21 tahun. Hujung Ogos, saya berangkat ke Kaherah untuk melanjutkan pelajaran.

Antara hujung Julai atau awal Ogos itu, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Keperibadian Rasulullah SAW’ sempena sambutan Maulidur Rasul SAW di Kampung Pintasan ini. Jemputan itu disampaikan oleh Tuan Hj Abu Aslam, yang berasal dari kampung berkenaan.

Menerima jemputan itu saya menjadi terpinga-pinga kerana seumur hidup saya belum pernah berceramah. Hendak menolak, malu pula. Kata orang nanti imam Masjid Bandaraya tidak tahu berceramah.

Jemputan itu bukannya dibuat secara spontan, tetapi sudah diajukan 2 bulan sebelum tarikhnya tiba. Demi menerima cabaran dan untuk memperbaiki kelemahan diri, undangan itu saya terima dengan hati yang sangat berat.

Bermacam-macam ikhtiar saya lakukan. Mencari dan membeli kaset ceramah Ust Ismail Kamus, Dr Haron Din, KH Zainuddin MZ serta buku barzanji. Kaset-kaset mereka diputar berkali-kali dan seperti hendak dihafal selain ditulis satu persatu.

Buku barzanji yang ada terjemahan menjadi pilihan saya. Buku ini saya pilih kerana ia dekat di hati masyarakat tempatan.

Tiba waktu yang dijanjikan, saya dibawa ke Kota Belud. Sepanjang perjalanan sejam itu, walaupun rancak berbual, hati saya berdebar kencang.

Sebenarnya di hadapan saya tidaklah terlalu ramai. Adalah lebih kurang 20-30 orang hadirin sahaja. Susunan ceramah berjalan seperti yang dirancang. Selesai ceramah, saya menghela nafas panjang kerana berakhir satu ‘azab’.

Saya tidak tahu apa yang ‘diumpatkan’ oleh jamaah berkenaan persembahan saya malam itu. Saya tahu ada juga yang tidak menjadi, tetapi secara keseluruhan bagi saya satu permulaan yang baik.

***

Ketika di Mesir, rasanya tahun 2003, ketika isteri sarat mengandung, saya dijemput berceramah di hadapan siswi Sabah di Iskandariah. Saya kurang ingat tajuk yang diminta.

Walaupun mereka yang berada di hadapan saya itu merupakan rakan-rakan kami suami isteri, saya mengingatkan diri sendiri bahawa mereka ini adalah mahasiswi al-Azhar.

Ketika itulah saya mengucap syukur tidak terhingga kerana sudah pernah berceramah sekali. Pengalaman pertama sudah tentu menjadi ilmu yang sangat berguna.

Terima kasih kepada Hj Abu Aslam yang menjemput saya dan semua jamaah di sana yang menjadi audien pertama saya.