IMG_5548

Sebelah maghrib, kami meneruskan program di Kg Dumpiring Atas. Kampung ini letaknya lebih hampir dengan Pekan Kundasang, berbanding kampung yang kami ziarahi tengahari tadi.

Khabarnya 100 peratus penduduk di sini beragama Islam dengan jumlah penduduk sekitar 300 orang atau lebih. Kami mendapati sejarah perkembangan Islam di Kundasang ini begitu subur sekali seperti suburnya bumi Kundasang dengan aktiviti pertanian.

Apa yang menarik, rancangan spontan untuk mengadakan pertemuan dan ceramah di Surau an-Nur kampung ini hanya dibuat setelah kami tiba di Kundasang. Penduduk kampung hanya dimaklumkan pada jam 5.30 petang akan kehadiran kami dan ceramah yang bakal diadakan.

Saya sekali lagi mengambil tempat. Oleh kerana saya berada di hadapan dan pintu masuk berada di belakang surau, saya menyaksikan penduduk kampung masuk seorang demi seorang sehingga kehadiran mencecah 70 orang.

Sebenarnya di dalam kereta tadi, fikiran agak bercelaru. Hendak berceramah apa sebenarnya. Sehingga kereta berhenti, saya baru terfikir dan mencadangkan agar sirah Isra dan Mi’raj diangkat sebagai tajuk malam ini.

Syukur alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya diperkenalkan sebagai pegawai jabatan agama negeri. Nampaknya penduduk kampung sangat memberi kepercayaan kepada JHEAINS.

Dalam suasana dingin yang mungkin sekitar 10-15 darjah, dan sesekali tiupan angin sejuk yang kuat dan mendebarkan, saya mendahulukan ceramah lebih sejam itu dengan menceritakan latar belakang peristiwa isra dan mi’raj.

Kisah Nabi SAW diangkat sebagai rasul, dakwah secara sembunyi, dakwah secara terang-terangan, dakwah ke Taif, peristiwa pemulauan terhadap orang Islam dan kematian Abu Talib dan Khadijah al-Kubra.

Semua sirah ini melatari isra dan mi’raj.

Nabi SAW dibawa berjalan menghadap Allah SWT, diperlihatkan satu demi satu projek-projek kerajaan Allah SWT dan akhirnya baginda menerima solat sebagai kewajiban yang mesti ditunaikan oleh umat Islam.

Setelah solat isyak, bantuan beras, makanan mentah serta ubat asas disampaikan kepada penduduk kampung. Alhamdulillah.

Kami semua sangat kagum dengan semangat penduduk kampung yang hadir beramai-ramai malam ini walaupun notisnya hanya sejam sahaja.

Insya Allah, selepas ini kami akan mengaturkan lagi ceramah demi ceramah bagi membantu mengukuhkan kefahaman Islam di sini.

Kg Dumpiring Atas, Kundasang.

IMG_5550

IMG_5551

IMG_5552

IMG_5553

IMG_5554