Malam tadi, saya berada di Rumah Kebajikan Teratak Fitrah yang menjadi markas bagi Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT).

Ada majlis pengislaman dua individu. Seorang perempuan dan seorang lelaki.

Baitah baru berumur 20 tahun dan berasal dari Tenom. Sementara Harry pula dari Keningau berumur 22 tahun dan kini  bekerja di Luyang.

Majlis dimulakan dengan sesi penerangan oleh Ustazah Hajjah Mariah Hasibuan dari Bahagian Dakwah JHEAINS yang sememangnya banyak bertanggungjawab soal muallaf ini di pihak jabatan.

Perkara paling asas diterangkan kepada mereka berdua ialah bahawa mereka tidak dipaksa untuk memeluk Islam. Ustazah sempat menceritakan, terdapat mereka yang memeluk Islam di JHEAINS, kemudiannya datang semula untuk keluar Islam dengan pelbagai dalih dan alasan.

Kepada Baitah dan Harry, berulang kali ustazah mengingatkan bahawa mereka tidak dipaksa, dan disuruh berfikir sehabisnya. Alhamdulillah, kedua-dua mereka tetap bertegas dan konsisten dengan keputusan untuk menganut Islam.

Baitah memeluk Islam di tangan Ustazah Mariah, sementara saya pula mengislamkan Harry. Semoga mereka istiqamah dengan Islam.

Malangnya, majlis bersejarah ini saya tidak dapat berkongsi gambar kerana tidak membawa kamera yang sedia tinggal di rumah seharian.