Sekitar jam 1 pagi tadi, Puan Sunra Golo, 60 tahun; ibu kepada sahabat usrah saudara Rustam @ Saharuddin Ibrahim kembali ke rahmatullah di rumahnya di Luyang Perdana, Kota Kinabalu.

Janazah allahyarham dijangka akan dimandikan sekitar jam 10 pagi ini di ruang pemandian janazah Masjid Negeri. Manakala solat janazah akan didirikan sejurus solat fardhu zuhur juga di Masjid Negeri.

Sahabat-sahabat di sekitar Kota Kinabalu diharap dapat meluangkan masa hadir ke masjid dan menghebahkan berita keluarga ini kepada sahabat-sahabat lain khususnya ahli-ahli usrah masing-masing.

Berita selanjutnya akan dimaklumkan.

****

Terdahulu, saya mendapat khabar sedih ini melalui SMS yang dikirimkan sendiri oleh Sdr Rustam sekitar jam 1.19 pagi. Ketika itu sedang minum dan makan di sebuah restoran 24 jam di Putatan.

Sejurus dimaklumkan, saya bergegas ke sana bersama beberapa rakan lain yang dikejutkan.

Sebenarnya, kami baru merancang untuk mengadakan satu lagi solat hajat pada malam ini di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, memandangkan malam ini adalah jadual kuliah saya.

Puan Sunra sebenarnya telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Sabah (SMC), Damai sejak 3 hari lalu. Khabarnya ketika di sana, allahyarham mengalami muntah darah. Pakar menyebut allahyarham menghidap sejenis penyakit hati.

Maghrib tadi (selasa), Puan Sunra dibawa balik ke rumah, setelah Rustam membuat keputusan untuk mengadakan rawatan alternatif secara Islam pula. Sahabat kita, Ust Nik Anwar yang melakukan ‘scan’ mengesahkan adanya gangguan makhluk halus ke atas allahyarham.

Seharian sepanjang selasa, ibu Rustam tidak sedarkan diri. Malam ini, diceritakan allahyarham pergi menyahut seruan ilahi dengan tenang dan sempat mengucap dua kalimah syahadah.

Kepada Rustam (anak tunggal allahyarham) bersama isteri dan anak, agar bersabar dengan ujian Allah SWT. Semoga Allah merahmati dan mengampunkan dosa allahyarham. Al-Fatihah.

“Sesungguhnya kita adalah milik Allah, dan kepadaNya kita kembali”