IMG_4911

(Gambar pada jam 12.58 pagi)

Tengah malam ini, ketika baru pulang dari ziarah sahabat di Sepanggar, saya sebenarnya dalam keadaan yang mengantuk sangat. Sempat berhenti 15 minit di stesen petronas Luyang dan tidur seketika sebelum meneruskan perjalanan balik pada jam 12.45.

Berhenti di lampu merah simpang empat Putatan, sempat lagi mata terpejam beberapa saat. Terfikir hendak berhenti sekali lagi.

Dari situ saya nampak kepulan asap kelabu menjulang tinggi. Perasaan mengantuk tetapi bercampur ingin tahu, di mana lokasi kebakaran itu berlaku.

Semakin dekat, saya mendapati kebakaran berlaku di Kg Dumpil, sekitar 1.5km dari Pekan Putatan. Kampung ini letaknya hanya di tepi jalan. Saya memutuskan untuk berhenti dan keluar sebentar, dalam keadaan orang belum ramai.

Secara jujur, saya hanya pernah masuk ke kawasan ini 2 kali. Kebanyakan rumah di sini dibina di atas air.

Saya pernah datang bersama beberapa sahabat tahun lalu, menziarahi seorang guru PASTI kami yang baru bersalin yang tinggal di kawasan ini. Cikgu itu yang kami panggil dengan nama Eja telahpun berpindah ke Tawau atas sebab-sebab keluarga.

12.57 pagi jam di tangan, saya menghubungi 999. Jawapan yang diterima, mereka sudah mengetahui. Ertinya sudah ada yang menghubungi mereka. Wallahu a’lam jam berapa sebenarnya kebakaran itu berlaku. Tetapi ketika itu, sudah sebuah rumah terbakar.

Hujan renyai, bimbang angin bertiup lebih kencang. Bimbang-bimbang api merebak lebih pantas. Hati merasakan bomba lambat benar sampai. Penghuni sekitar sudah berlarian menyelamatkan apa yang sempat. Ada yang membawa pakaian, dapur gas dan bermacam-macam.

IMG_4923

Orang bertambah ramai, keluhan bomba datang lambat mulai kedengaran. Jam 1.13 pagi, iaitu 15 minit setelah saya tiba di tempat kejadian, baru pasukan bomba dengan 3 kenderaan tiba.

Walaupun bersyukur dengan kehadiran mereka, seperti kebanyakan yang hadir merasakan bomba datang lambat. Jarak antara balai bomba di Sembulan dengan Kg Dumpil hanya kira-kira 12km. Kebakaran berlaku pada waktu tengah malam, ketika jalan raya memang lengang.

Tidak lama, datang lagi sebuah kenderaan bomba. Kali ini dari bomba tentera darat Kem Lok Kawi yang jaraknya cuma 1km dari kampung berkenaan. Pasukan polis dari Putatan (rasanya) juga ada bersama.

IMG_4928

Sekitar 1.45 pagi ini, kebakaran dapat dikawal daripada merebak. Tiga buah rumah musnah dijilat api.

Semoga kita semua mendapat pengajaran. Saya berpandangan, eloklah kita turut membantu meringankan beban mangsa dengan memberi sumbangan berbentuk kewangan, pakaian, makanan dan sebagainya.