Antara perkara yang turut bergema dalam Muktamar PAS kali 55 di Stadium Malawati Shah Alam Selangor ialah berkenaan Sabah, Sarawak & WP Labuan. Antara tajuk kecil dalam kandungan ucapan dasar Presiden ialah tentang Sabah & Sarawak :

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Kita juga menyedari kepentingan negeri Sabah dan Sarawak dalam pembangunan negara Malaysia ini.

Kita juga menyaksikan bahawa setelah puluhan tahun di bawah pemerintahan kerajaan BN, status ekonomi, pendidikan dan pembangunan di Sabah dan Sarawak ini tidak banyak berubah, malah ketinggalan dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Ketidakadilan dan kepincangan ini sering pula diluahkan oleh ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam setiap sesi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Walaupun begitu, suara-suara ini tenggelam dalam keangkuhan kerajaan pimpinan Umno dan BN.

Oleh yang demikian, PAS perlu mengambil langkah yang agresif dan tersusun, untuk terus melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak, setelah benihnya ditanam oleh generasi terdahulu yang telah dan sedang berada di sana.

Kepimpinan PAS pula akan lebih kerap berkunjung ke sana untuk bertemu masyarakat pelbagai etnik dan seterusnya menjelaskan peranan PAS untuk membantu mereka.

Para pendokong PAS di sana juga perlulah memperkemaskan organisasi, dan seterusnya mempergiatkan langkah-langkah pengilmuan orang Islam yang berada di sana, menerusi majlis ilmu untuk memberi kefahaman serta tasawwur Islam yang sebenar kepada rakyat.

PAS juga akan memperkenalkan Islam kepada penduduk peribumi sehingga mereka memahami dan menyokong perjuangan PAS.

Terdahulu, dalam ucapan penutup dalam Muktamar Dewan Pemuda sehari sebelum itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru, Ust Nasrudin Hasan Tantawi juga ada menyentuh soal Malaysia Timur ini dengan kata-kata berikut :

Bukan sahaja di Semenanjung, pengukuhan organisasi DPP dan perluasan gerakkerja dakwah, insya Allah akan diperhebatkan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Labuan. Saya kira sessi ini adalah sessi yang akan turut memberikan lebih tumpuan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kita mahu Sabah, Sarawak dan Labuan menjadi Semenanjung ke 2 dan Projek Semenanjung 2 ini akan kita kaji satu mekanisme khusus bagaimana kita akan menjayakannya.

Dalam blog YB Dato’ Mahfuz Omar juga ada memberikan komentarnya :

Saya berazam untuk memastikan PAS berjaya menawan Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

Untuk mencapai tujuan tersebut, usaha untuk memperkukuhkan PAS di dua buah negeri itu perlu dipertingkatkan. Melebarkan pengaruh di dua buah negeri itu penting kerana Umno dan Barisan Nasional kini hanya mengharapkan Sabah dan Sarawak untuk menyelamatkan mereka dari tewas setiap kali pilihan raya umum.

“Menjadi misi saya setelah dipilih sebagai Naib Presiden untuk memastikan PAS dapat melebarluaskan pengaruh di Sabah dan Sarawak.

“Amat penting bagi kita mengukuhkan kedudukan di dua buah negeri tersebut kerana Umno/BN menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai talian hayat mereka untuk terus kekal berkuasa,”

Sejak PAS Sabah ditubuhkan pada 19 Mei 1986, sehingga kini PAS sudah bertapak rasmi di beberapa kawasan. Tawau, Putatan, Keningau, Sandakan, Kinabatangan, Libaran dan Kota Belud.

Secara tidak rasminya, ahli PAS sudah berada di merata negeri termasuk di Kudat, Pitas, Beaufort, Tenom, Sipitang, Nabawan, Ranau, Kalabakan, Lahad Datu, Semporna, Telupid dan lain-lain. Sementara produk paling laku PAS ialah pendidikan pra-sekolah yang dikenali dengan nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang sudah melebihi 40 buah.

Tetapi sudah tentu tidak cukup dengan itu. Menyebarluaskan maklumat tentang kesyumulan Islam kepada seluruh manusia, muslim atau belum, menjadi tanggungjawab semua.

Seperti UMNO yang juga mengaku memperjuangkan Islam tetapi hanya sekerat-sekerat, orang-orang PAS pula mesti mendepani dan memimpin masyarakat dalam menerangkan Islam yang sebenar.

Bukan hanya berkaitan ibadah khusus sahaja, bahkan Islam yang menyeluruh sehingga dalam soal politik, ekonomi, budaya, sosial dan apa sahaja, Islamlah yang menjadi dasarnya. Pendukungnya di Sabah, Sarawak & Labuan mesti bersedia memikulnya.