IMG_3067Sepanjang keberadaan di Tenom pada jumaat hingga pagi ahad lalu, saya banyak terhutang budi kepada ramai pihak khususnya kepada 2 orang ini.

Jadual pergerakan saya banyak diatur oleh imam muda ini. Ridhwan Kadim yang berasal dari Kg Laba, Kota Klias Beaufort ini baru berumur 29 tahun, dan bertugas sebagai imam qaryah Kg Lagud, Tenom sejak 2 tahun lalu.

Allah SWT mentakdirkan Ridhwan berumahtangga dengan orang Tenom, Siti Juwairiyah Abdullah namanya. Siti bukan sebarang Siti, dia memeluk Islam pada 1999 dan kemudiannya belajar di PERKIM sehingga dipertemukan dengan Ridhwan di bumi Selangor.

Setelah kembali ke Sabah, Ustazah Siti menabur bakti bersama JHEAINS Tenom sebagai Pembantu Rendah Dakwah, lebih dahulu daripada suaminya. Secara jujur saya melihat keikhlasan mereka khususnya dalam menggerakkan aktiviti dakwah di kampung-kampung yang terdapat saudara baru bersama pendakwah-pendakwah lain.

Ketibaan saya di Masjid Pekan Tenom tempohari disambut oleh Ridhwan, walaupun saya difahamkan dia punya acara lain. Kebanyakan program ceramah saya turut dihadiri oleh beliau dan dia memperkenalkan saya kepada hadirin.

Saya doakan keluarga Ridhwan bersama isteri dan anak-anak mereka sentiasa sukses dan terus aktif dalam menyebarkan dakwah terutamanya di daerah Tenom.

***

IMG_3054Seorang lagi teman baru saya ialah adik Umar bin Innong bin Ahmad.

Saya hanya bertemu dan taaruf ringkas dengannya sekali di Bank Islam Wisma MUIS sebulan lalu dan ketika itulah saya mengesahkan akan ke Tenom kepadanya. Kami bertukar nombor telefon dan berjanji akan menghubunginya di Tenom kemudiannya.

Walaupun baru sekali bertemu, kepercayaan saya kepada pelajar SMAI TPHR sangat tinggi. Apabila tiba di Tenom minggu lalu, Umarlah antara yang saya hubungi.

Saya mohon dia menemankan saya dalam pergerakan ke mana-mana masjid dan surau, juga teman sembang di hotel tempat saya menginap. Alhamdulillah dia bersetuju.

Sepanjang program, dia menjadi pembantu dan teman setia saya. Membantu mengangkat dan mengedar taqwim solat keluaran JHEAINS yang saya bawa ke Tenom buat umat Islam, serta menunjukkan jalan menuju ke masjid-masjid dan surau di mana jadual saya berprogram.

Umar, berumur 20 tahun adalah pemuda berbangsa bajau suluk. 2003-2005 dia bersekolah di SMAI Tambunan dan kemudiannya menyambung ke SMAI TPHR pada 2006-2008. Dalam peperiksaan STAM lalu, Umar memperolehi 5 jayyid dan 5 jayyid jiddan.

Dia ada meluahkan harapan tingginya untuk menyambung pelajaran ke Mesir pada tahun ini. Urusan awalnya sudah diatur dengan Ust Hj Safri – guru SMAI TPHR. 

Mengisi ruang sebelum berangkat ke Mesir (insya Allah), dia kini mengajar di SAN Pekan Tenom, dan sesekali diminta naik menjadi imam di Masjid ar-Rahman Pekan Tenom.

Alhamdulillah, sepanjang tengahari jumaat sehingga pagi ahad, saya menemui kenalan dan sahabat yang baik. Kepada Imam Ridhwan dan Umar, saya ucapkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga.

Semoga pertemuan dan perpisahan itu benar-benar kerana Allah SWT. Amin.