Menjelang maghrib, bergerak pula ke masjid berkenaan yang menghala arah ke Keningau sekitar 17km dari Pekan Tenom. Teman seperjalanan, Umar mengakui belum pernah ke masjid ini yang terletak ke dalam sedikit dari jalan utama.
Kami terlewat tiba kerana tersesat dan keadaan pula semakin gelap ditambah lagi bekalan elektrik yang terputus. Setiba kami, jamaah masjid yang saya anggarkan sekitar 40 orang sudah menanti.
Masjid ar-Rahim Kg Jawa Sembiling ini dibina pada tahun 1972, pada zaman pemerintahan kerajaan USNO. Separuh masa ceramah berkenaan berlangsung dalam keadaan separuh gelap. Hanya disinari beberapa lampu kecemasan, tetapi itu bukan alasan untuk membatalkan program yang sudah diatur.
Tazkirah berkisar tentang pendidikan anak-anak menurut Islam. Ia bermula dengan pemilihan pasangan yang benar dan tepat, mengazan dan mengiqamatkan bayi, tahnik, nama yang baik, cukur rambut, aqiqah, sehinga akhirnya ia mendapat pendidikan yang sebenarnya.
Tiada yang lebih menggembirakan apabila seorang anak boleh mendirikan solat, pandai mendoakan orang tuanya serta mempunyai pekerti yang mulia.