Archive for 24 Mei 2009


IMG_3096Petang sabtu semalam (23hb), saya dijemput hadir ke majlis kenduri kesyukuran sempena 7 hari kelahiran anakanda Qaisara Nur Hairani bte Ag Zamsari dan ibunya Fatimah Gulasan di Kg Binae Tenom.

Jemputan hadir disampaikan oleh sahabat usrah Dr Ali Akbar Gulasan yang kebetulan juga balik kampung bercuti hujung minggu di Tenom ini.

Puan Fatimah selamat bersalin pada 15 Mei di Hospital Keningau, dengan berat bayi 2.9kg. Dalam majlis ringkas itu juga, diadakan majlis menggunting rambut dan mengisytiharkan nama bayi kepada yang hadir.

Hadirin kemudiannya dijamu dengan capati adunan keluarga mereka sendiri. Boleh tahan jugalah.

IMG_3101

IMG_3100

IMG_3042Jam 9.30 pagi saya menyampaikan ceramah di hadapan 30 pelajar kelas ini. Ia diadakan dalam dewan kuliah, bersebelahan dengan dewan utama solat masjid ini.

Saya mengambil ruang sebelum berceramah dengan meminta mereka memperkenalkan diri. Nama, asal, agama sebelum Islam dan punca memeluk Islam.

IMG_3031Hampir kesemua menyatakan punca mereka memeluk Islam disebabkan oleh perkahwinan dengan pasangan beragama Islam. Bagi saya ini menunjukkan dakwah melalui perkahwinan ini sangat baik dan berkesan untuk menarik saudara baru.

Dalam masa yang sama, apa yang diharapkan ialah calon pasangan yang baik, setidak-tidaknya dengan memberi peluang pasangan mereka mempelajari Islam seperti di kelas-kelas sebegini.

IMG_3036Kebanyakan peserta juga baru memeluk Islam dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, kecuali 2-3 orang yang sudah melebihi 10 tahun.

Fokus utama saya hari itu ialah berkenaan dengan solat. Hanya beberapa orang di kalangan mereka yang menunaikan solat fardhu penuh 5 waktu. Ada yang hanya solat isyak, atau asar dan kebanyakannya langsung tidak solat.

IMG_3057Saya memutuskan untuk menghentikan ceramah dan kesemua peserta dibawa ke dewan solat untuk praktikal solat. Ia dikendalikan oleh Ustazah Juwairiyah Abdullah, Pembantu Rendah Dakwah JHEAINS Tenom, sementara saya hanya memerhati dan memantau sahaja.

Kasihan saya melihat kebanyakannya memang langsung tidak mengetahui pergerakan solat. Tetapi kesedaran dan kesungguhan mereka untuk mempelajari Islam amat saya kagumi. Ada yang membawa bayi dan anak-anak kecil dalam kelas berkenaan.

Saya meminta kepada semua peserta kelas ini agar setiap kali kelas berakhir setiap sabtu pada jam 12 tengahari,  mereka tidak terus balik bahkan berada di masjid pula untuk solat zuhur secara berjamaah.

Saya membuka ruang bersedekah kepada para pembaca blog ini untuk disampaikan kepada mereka, khususnya keperluan solat seperti telekung, kain, buku iqra dan buku-buku panduan solat.

Semoga Allah mengukuhkan aqidah, keyakinan dan Islam mereka, serta dalam masa yang sama saya mengharapkan komitmen yang berterusan daripada pihak tenaga sukarelawan di JHEAINS Tenom untuk terus membimbing mereka.

Malam sabtu, setelah dibawa makan malam di restoran asia rasa di Pekan Tenom, saya merasa kurang sihat atau lebih khususnya, saya sakit gigi.

Sehingga jam 2 pagi saya belum boleh tidur. Turun naik hotel mencari air dan kemudiannya keluar menuju kedai 7-11 yang terletak bersebelahan untuk mencari ubat.

Entah jam berapa secara tepat saya dapat menidurkan diri dengan hanya duduk di katil. Asal saja baring gigi terasa ngilu sekali. Bila saya rebah pun sudah saya tidak sedar lagi.

Mujur sekitar 4.30 pagi boleh bangun lagi. Alhamdulillah, rasa kesakitan semalam mulai reda.

IMG_3088Bersama Umar, kami bergerak ke Masjid Jamek Kg Chinta Mata -yang dibina pada 1972- mengisi tazkirah selepas subuh yang sudah disusun. Saya membawa hadith Rasulullah SAW berkenaan kemanisan iman :

“Ada 3 perkara, sesiapa yang mempunyai 3 perkara ini, ia mendapat kemanisan iman. Pertama, Allah dan Rasulullah lebih dikasihinya berbanding yang lain. Kedua, ia kasih kepada seseorang kerana Allah. Ketiga, ia bencikan murtad setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana ia benci dimasukkan ke dalam neraka”.

Persoalannya, adalah kita sudah merasai kemanisan iman itu?

Adakah Allah dan RasulNya lebih kita kasihi berbanding yang lain? Adakah kita kasih, sayang dan hormat seseorang kerana Allah? Adakah kita benar-benar benci kepada murtad sebagaimana sepatutnya?

Kelu lidah menjawabnya.

%d bloggers like this: