IMG_3083

Setelah menyelesaikan beberapa urusan mendesak di pejabat sejak 2-3 kebelakangan – khususnya persiapan majlis tilawah al-Quran peringkat kementerian-kementerian bagi kerajaan negeri Sabah, saya bertolak secara solo ke Tenom sejak pagi tadi.

Program ini tiada kaitan dengan mana-mana organisasi, hanya saya berhajat benar berceramah dan berprogram di Tenom. Berdakwah secara fardiyyah (solo), merupakan salah satu bentuk dakwah yang diajar oleh para ulama’ khususnya dalam ilmu dakwah.

Ada dakwah fardiyyah (solo), dan ada dakwah jam’iyyah (berkumpulan / berorganisasi). Sesekali berdakwah sendirian, elok juga dan tidak terikat dengan kepentingan orang lain. Cuma saya hanya memohon bantuan sahabat di JHEAINS Tenom untuk mengatur lokasi dan promosi.

Setelah ke pejabat sekejap, mengambil taqwim solat untuk disebarkan di Tenom, saya langsung memulakan musafir pada jam 10 pagi. Paling mendebarkan, perjalanan mendaki jalan raya di Kimanis-Keningau yang curam itu.

Inilah pengalaman pertama membawa kereta sendiri melalui jalan ini. Alhamdulillah, saya tiba tepat jam 12 tengahari di Masjid ar-Rahman, Pekan Tenom.

Tugasan pertama ialah menyampaikan khutbah di masjid ini. Isunya berlegar tentang penolakan manusia terhadap Islam, yang menyebabkan umat menerima musibah secara umum.

Buktinya menular rompakan, samun, ragut yang semakin kejam sifatnya. Belum selesai dunia berhadapan dengan krisis kewangan – kerana mengamalkan sistem kapitalisme, kini dihadap lagi dengan wabak selsema babi yang benar-benar gila babi.

Allah SWT sudah lama melarang manusia memakan babi. Larangan itu ada di dalam al-Quran (al-Baqarah : 173, al-Maidah : 3) dan di dalam Bible (Imamat 11 : 7-8).

Apabila Allah SWT dan RasulNya memerintahkan satu arahan, ia mesti baik. Sebaliknya, jika Allah dan RasulNya melarang satu kemungkaran, ia mesti tidak baik. Kerana Allah tidak pernah menzalimi sesiapa.

Selesai majlis khutbah dan solat Jumaat, berangkat ke destinasi berikutnya..