IMG_2443Dari Tambunan, kami bergerak ke Tenom menziarahi seorang rakan Chegu Jamil iaitu Cikgu Rizal Hadi.

Cikgu Rizal Hadi memang berasal dari Tenom. Dahulunya beliau bertugas di SMK Sanzac selama 10 tahun mulai 1990. Pada 2000 beliau berpindah dan berkhidmat di halaman sendiri di SM Chung Hwa, Tenom.

Allah SWT telah menguji beliau apabila sejak setahun lalu beliau menghidapi sakit buah pinggang dan kencing manis. Kini beliau terpaksa bercuti daripada mengajar apabila kaki beliau kelihatan bengkak.

Ketika kami berziarah, keadaan tubuhnya semakin reda sedangkan sebelum itu perut beliau membesar sehingga ditahan lama di Hospital Tenom. Tetapi kakinya sehingga ke paha masih kelihat bengkak, yang menyusahkan beliau bergerak.

Cikgu Rizal memang dikenali sebagai seorang guru biasa yang mencintai dakwah. Sehinggakan katanya, ketika beliau sakit dan ditahan di Hospital Tenom, beliau pula yang memberi tazkirah kepada pelatih-pelatih jururawat di sana.

Selain itu, beliau juga berziarah ke katil-katil berdekatan untuk memberi semangat kepada pesakit-pesakit lain terutamanya mengingatkan sesama pesakit tentang ujian Allah, ketentuan takdir dan seumpamanya.

Kepada kami, beliau juga mengingatkan tentang cabaran kristianisasi yang berlaku di Tenom secara halus seperti jadual ziarah petugas-petugas mereka ke hospital untuk menziarahi pesakit.

Pada 2004 dahulu, kerajaan Negeri Sabah telah memilih beliau sebagai penerima Anugerah Khalid al-Walid Negeri Sabah dalam sambutan Maal Hijrah. Anugerah ini diberikan kepada belia yang berdedikasi dalam dunia dakwah.

Doakan beliau sembuh seperti biasa dan kembali cergas seperti dahulu.