Archive for 11 Mei 2009


HJ AYUB DI SURAU OLIVIA

IMG_2225Kembali ke Kota Kinabalu pada petang ahad, sementara saya bergegas ke Surau Taman Limauan menyambung kuliah tafsir, Hj Ayub Abd Rahman Abdullah pula meneruskan gerakan solo beliau dengan berceramah di Surau Taman Olivia Kepayan.

Saya sempat hadir ketika jamaah mula menunaikan isyak, dan melihat surau comel ini penuh sesak dengan jamaah. Teringat seketika kuliah hadith saya di surau ini pada setiap jumaat selepas maghrib, yang mula berkurangan hadirinnya. Kalaulah yang hadir seramai itu..

Ramai peminat-peminat ceramah agama ini kurang memahami bahawa walaupun mendengar ceramah itu penting, tetapi menghadiri kuliah dan pengajian kitab itu jauh lebih penting.

Ceramah secara umumnya hanya menaikkan semangat kita tentang kepentingan beramal dan mempertahankan Islam mengikut tajuk ceramah. Tetapi kuliah dengan berkitab atau ada risalah secara bersambung itu tujuannya mengisi dada dan hati kita dengan ilmu pengetahuan secara lebih tersusun dan konsisten sifatnya.

Mudah-mudahan saja selepas tiap kali ceramah, ada peminat ceramah yang akan turut serta dalam kuliah hadith Riyadhus Solihin itu pula.

IMG_2226Tentang kehadiran jamaah dalam ceramah Hj Ayub tempohari, saya ucap tahniah kepada JK Surau yang dipimpin oleh pengerusi Thussin Hj Saidil (gambar) bersama orang-orang kuatnya.

Apa yang dapat dilihat, kehadiran jamaah yang kebanyakannya orang tempatan dan juga terdapat dari luar taman ini, mudah-mudahan membawa sinar dakwah yang lebih baik dan berkekalan.

IMG_2199Dalam perjalanan pulang dari Kundasang, rombongan kami singgah di rumah Ust Md Khairul Anwar di Nabalu. Menariknya tempat ini menjadi sempadan dan hujung kepada 3 daerah, iaitu Tamparuli, Kota Belud dan Ranau.

Ust Md Khairul berasal dari Kulim Kedah. Sudah 5 tahun bertugas di SK Kaung, Kota Belud. Dahulunya beliau mengaji di Maktab Mahmud dan kemudian ke Shibin El Kom, Mesir menyambung di Universiti al-Azhar dalam kuliah Usuluddin – Tafsir sehingga 1998.

IMG_2196Di Nabalu, beliau tinggal di rumah guru SK Dallas, sekolah tempat isteri beliau Ustazah Rafidah Salleh bertugas. Jarak dari rumah di SK Dallas ke SK Kaung cuma 9km.

Ustazah Rafidah sebelum ini juga mengaji di Universiti al-Azhar, Mansoura dan tamat pada tahun 2000.

Bagi kami, Ust Khairul sekeluarga ada ruang dan boleh memilih untuk tinggal di Tamparuli, atau di Pekan Kundasang di mana umat Islam lebih ramai.

Tetapi beliau teguh untuk berada di kawasan ini yang majoriti penduduk Islamnya sangat sedikit.

Di kawasan ini, masjid dan surau memang tiada langsung. Pada hari jumaat, Ust Khairul terpaksa solat jumaat di Masjid Pekan Kundasang, kira-kira 30km.

Alangkah eloknya, jika kerajaan memikirkan untuk mendirikan sekurang-kurangnya sebuah surau khususnya di Pekan Nabalu, untuk kemudahan penduduk dan musafir beragama Islam. Pekan Nabalu ini adalah jalan utama menghubungkan Kota Kinabalu menuju Ranau, Sandakan dan Tawau.

IMG_2190Di SK Kaung, tempat beliau bertugas ada 30 pelajar muslim daripada 108 jumlah pelajar keseluruhan. Sementara di SK Dallas tempat isterinya bertugas, cuma ada 10 pelajar muslim daripada 86 pelajar.

Itu pun termasuk anak sulung mereka Khalidah Khairinah yang berada di tahun 1.

Selain Khalidah, pasangan Ust Khairul dan Ustazah Rafidah punya 2 lagi anak iaitu Abdullah Syatibi (4 tahun) dan Raihan Athirah (2 tahun).

Melihat raut wajah dan ceritanya, saya yakin Ust Khairul boleh meredah cabaran hidup bersama penduduk kampung yang rata-rata bukan Islam. Inilah ruangnya untuk memperlihatkan keindahan Islam kepada mereka.

Dalam masa yang sama, beliau boleh mengukuhkan kefahaman penduduk Islam yang beberapa kerat itu terhadap agama yang suci ini. Semoga beliau sekeluarga terus tabah.

%d bloggers like this: