Salah satu aktiviti sampingan kami ialah berziarah ke Kg Lobou Baru. Kampung ini bersebelahan dengan kampung Timbua, lokasi kami berprogram selama sehari semalam.
Sebenarnya kampung kami dikhabarkan terdapat hampir 50 buah rumah, hanya empat daripadanya adalah rumah non-muslim.
Namun begitu, keadaan begitu mencabar sekali apabila terdapat sebuah gereja besar milik Sidang Injil Borneo (SIB) yang boleh memuatkan 300 orang dalam satu-satu masa. (gambar atas)
Dalam masa yang sama, terdapat pula sebuah surau berkapasiti 60-70 orang yang masih elok tetapi boleh dikatakan terbiar tidak jauh sebelum bertemu gereja SIB ini.
Kami sempat mengunjungi kedua-dua tempat ini. Khusus di gereja itu, kami ada juga bersembang seketika dengan pastor yang bertugas di situ. (Pastor berseluar pendek).
Kawan-kawan di JHEAINS Ranau ada memberi respon dalam hal surau berkenaan.
Katanya, apabila pihak jabatan datang membuat program, barulah penduduk akan turun beramai-ramai. Setelah habis, surau akan kembali sunyi seperti sebelumnya.
Setakat ini, untuk menunaikan solat jumaat, mereka bergerak ke Masjid asy-Syarif Kg Timbua.
Selain itu, JHEAINS Ranau juga ada mengusahakan agar ada pemuda dari kampung itu dihantar belajar di Pusat Latihan Dakwah sama ada di Keningau atau Kudat, tetapi belum berhasil.
Belia yang dihantar insya Allah boleh mengimarahkan surau serta membantu mengembangkan dakwah di kampung mereka setelah selesai belajar nanti.
Sekarang, sesuatu perlu dilakukan untuk membangkitkan kesedaran penduduk tempatan.