Saya ada idea baik untuk menyambut slogan PM Najib ini. Oleh kerana sesekali saya keluar daerah, dan kamera biasanya ada di samping, maka saya persembahkan gambar-gambar daripada masa ke masa untuk perhatian semua.

Bukan saja untuk PM Najib, tetapi mereka yang berkenaan, khususnya kepada mereka yang beriman dengan slogan ini.

Kalau mereka menjawab, slogan ini baru dilancarkan oleh PM Najib yang baru mengangkat sumpah, dan beliau tidak wajar dipersalahkan,  ertinya pemimpin lalu tidak mendahulukan rakyat tetapi mendahulukan suku sakat mereka.

Pemimpin lalu, bukan daripada jenis lain daripada BN. Ertinya spesis dan parti yang sama juga dengan PM yang sekarang.

img_1589Lokasi : Kg Tarangkapas, Kota Marudu.

img_1602Keluarga berbangsa dusun ini memeluk Islam pada pertengahan 80an. Punya dua anak, namanya Md Azli (11 tahun) dan Norlina (8 tahun).

Ketika kami tiba, kedua-dua mereka baru pulang daripada kelas mengaji, tidak jauh dari rumah. Saya diberitahu nama guru mereka disebut sebagai Ustaz Ikhwan dan Ustazah Suriati.

Lihatlah rumah mereka. Sekali pandang, sudah tahu, basah dan tempias hujan pasti mengena tubuh mereka sekeluarga.

img_1592Lihatlah tangga rumah mereka, bagai tangga di kandang atau di reban rupanya. Duduk di rumah, saya diingatkan agar berhati-hati menyandar ke dinding. Takut-takut dinding roboh. Memang rapuh teratak mereka ini.

Saya berharap ada kesempatan PM Najib, jenguk-jenguklah rumah mereka. Bukan jauh di luar negara, dalam bumi sendiri juga. PM ada pesawat khas, datanglah. Buktikan rakyat didahulukan, bukannya slogan semata-mata.

img_1618Kami sempat hadir, sekadar membawa dan menyampaikan kiriman orang-orang Islam yang prihatin di Kota Kinabalu untuk saudara mereka di Kota Marudu. Bantuan yang tidak seberapa, hamper dan beberapa pakaian untuk mereka.