img_1537Ketika di Kuala Penyu bertemu beberapa sahabat lama sepersekolahan, saya lantas teringat seorang lagi rakan sekelas.

Ust Md Yusup Muslim, orang Kg Takuli Beaufort. Tidak banyak kisah yang saya ingat kerana dia dikenali sebagai rakan yang agak sederhana penampilannya.

Tidaklah terlalu menonjol nakal atau baiknya, begitu juga bukan di kalangan rakan-rakan yang terkenal bijak atau jahilnya. Pokoknya sederhana.

Tetapi dia adalah seorang sahabat yang baik menurut penilaian saya, kerana tidak pernah menyakiti hati orang. Sikapnya begitu membuatkan sesetengah rakan menganggapnya pemalu dan pendiam.

Yang terkenalnya, dia adalah seorang yang minat bersukan. Bola sepak terutamanya menjadi kegemarannya hingga kini.

Apabila tamat sekolah, dia satu-satunya rakan yang langsung menyambung ke Maktab Perguruan Keningau pada 1997-2000. Menjelang 2001 dia sudah berada di alam pekerjaan.

Bertugas dua tahun di SK Lupak dan kemudiannya di SK Mempagar hingga kini. Sikapnya yang pendiam, membuatkan ramai rakan-rakan kurang maklum dengan perkembangannya.

Pada Julai 2006, sahabat kami yang pendiam ini membuat ‘kejutan’ apabila mendirikan rumahtangga dengan rakan sekelas kami yang boleh dikategorikan lawa orangnya, yang juga terkenal pendiam dan pemalunya. Entah siapa takle siapa, kami kurang maklum.

img_1531Sahabat kami itu, Ustazah Zubaidah Kassim itu kekal dengan sifat pemalunya sehingga sekarang. Dia menolak dengan baik permintaan saya agar keluarga kecilnya saya abadikan di dalam blog ini untuk tatapan rakan-rakan lama.

Walaubagaimanapun, bertemu dengan sahabat lama ini di rumah baru mereka di Taman Seri Panglima sudah cukup menggembirakan hati saya yang lama tidak bertemu sejak 7 tahun lalu.

Kini pasangan ini sudah punya seorang cahayamata lelaki berusia 7 bulan. Atif Muhammad namanya. Doa saya semoga mereka bahagia, dan jangan lupa, bagi ramai anak. Nabi suka umatnya ramai.

Anak keturunan ustaz dan ustazah ini kalau ramai, insya Allah berkualiti juga.