img_1421Malam tadi, saya bertemu dengan seorang lagi sahabat baik, Ust Hj Md Lukman Said.

Ingat lagi, Lukman adalah orang pertama yang menegur dan menyapa sekaligus menghulur persahabatan kepada saya ketika kami sama-sama masuk tingkatan 1 di SMAI TPHR pada hujung 1991, kalau tidak salah 26 Disember.

Zaman sekolah dahulu, Lukman adalah pelajar mithali sekolah tahun 1997. Ketika di Mesir pula 2 tahun lalu, pernah juga menjadi YDP Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM).

Sahabat saya ini kembali ke tanahair setelah lebih 2 tahun tidak balik, bercuti sebelum kembali ke Mesir julai nanti. Bagi yang belum tahu, Lukman masih melanjutkan pengajian masternya, tahun 3 dalam bidang lughah di Universiti al-Azhar, Kaherah.

Ketika masih bersama-sama di Mesir lebih kurang 5-6 tahun lalu, Lukman pernah  memberitahu saya sendiri, menyimpan cita-cita untuk menamatkan PhD di Universiti al-Azhar juga. Semoga cita-cita itu masih menjadi sasarannya.

Tengah-tengah saya asyik berkuliah di Surau Taman Olivia semalam, masuk satu sms daripada Lukman. Khabar pentingnya ialah, insya Allah beliau bakal menikahi gadis dari utara pada khamis depan 30 April di Alor Setar.

Ustazah Siti Hadibah Abd Hajar, 29 tahun, seorang guru JQAF di Alor Setar. Tunang Lukman ini terdahulunya menamatkan pengajian kuliah lughah (bahasa Arab) pada 2007 juga di Universiti al-Azhar , Mansoura, 100 km dari Kaherah.

Ketika saya tiba berziarah di rumah abangnya di Kg Sungai Padang Papar semalam, Lukman sibuk di depan laptop milik abangnya, rupanya masih mencari-cari tiket airasia untuk ke semenanjung minggu depan.

Kerana menyedari pernikahan berlangsung di Alor Setar, saya segera bertemu Lukman untuk melihat seri wajah bakal pengantin ini.

Guraunya, walau dalam usia 30 tahun tahun ini, dia tidak malu kerana ada lagi kawan-kawan sepersekolahan dahulu yang masih bujang. “Yang penting, aku mendahului Hj Yakob”. Hehehe..

Dua tahun bertunang, kini masanya telah tiba. Saya dan keluarga mendoakan kesejahteraan buat Lukman dan Hadibah. Kawan-kawan yang berhasrat menghubungi dan mengucap tahniah, boleh berhubung di 014-6512250.