img_0686Seperti yang dicatatkan sendiri oleh Puan Siti Maznah Muini, pelajar Teratak Fitrah..

Saya memeluk Islam pada 31.12.1981 di Kg Libang Ranau oleh Imam Hj Daud (arwah) dan disaksikan oleh ibu saya sendiri (bukan Islam masa itu).

Apa yang menyebabkan saya memeluk Islam ialah, semasa saya di alam persekolahan, tingkatan 3, saya suka mengikuti kelas agama Islam. Untuk dapat mengikuti kelas tersebut, saya mengaku telah memeluk Islam, meskipun saya sebenarnya bukanlah beragama Islam.

Dalam masa ini, dua orang abang saya sudah memeluk Islam.

Apa yang mendorong sangat dan mungkin juga dalam keterpaksaan dalam terus menganuti agama Islam ini ialah bila saya lulus dalam peperiksaan akhir 1981 (SRP) dan melangkah ke tingkatan 4.

Kerana segan dengan kawan sekolah yang beragama Islam dan takut tembelang pecah (kerana telah mengaku Islam sebelum ini), akhirnya saya dengan bertemankan emak saya sendiri pergi ke rumah imam untuk membaca dua kalimah syahadah.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana pada tahun 1987, akhirnya kami sekeluarga daripada emak, bapa serta adik beradik telah memeluk Islam. Kini keluarga kami hidup dalam kerukunan Islam.

Pengislaman dalam keluarga kami tiada masalah dan semua saudara mara keluarga sebelah bapa dan emak menerimanya dan hubungan kekeluargaan tetap utuh hingga sekarang.