Alhamdulillah, atas pelawaan Ust Hj Khamis Jamil minggu lepas, malam ini telah bermula satu lagi siri kuliah-kuliah di masjid & surau. Masjid Mahabbah Kg Muhibbah terletak di belakang taman Jumbo Petagas. Di hadapan arah kiblat masjid ini kelihatan hujung landasan LTAKK yang sedang dalam pembinaan.

Saya berbesar hati melihat kehadiran antara 20-30 orang jamaah masjid yang duduk rapat dan hampir diantara satu sama lain. Nampaknya respon hadirin dengan kuliah itu tadi pun nampak positif.

Cuma saya mengharapkan setiap daripada mereka dapat memiliki sebuah buku yang terdapat di pasaran. Kitab Hadith 40 susunan al-Imam an-Nawawi. Sebuah kitab terkenal yang terdapat terjemahannya di dalam bahasa Melayu. Apabila ada buku, boleh buat catatan masing-masing, bukan sekadar mendengar sahaja.

Tadi, saya membuat sedikit pengenalan berkenaan imam an-Nawawi dan hadith pertama berkaitan soal niat dan hijrah. Dengan kuliah terbaru ini, saya kini punya 6 kuliah maghrib. Yang tinggal kosong cuma khamis malam jumaat. Jadual kuliah maghrib boleh dilihat di kanan blog ini.