p4050068Ahad lepas, seperti biasa jadual kuliah maghrib di Surau an-Nur Taman Limauan.

Kalau ikut jadual, malam itu saya akan menghabiskan tafsir surah an-Nur yang sudah berbulan-bulan berlangsung saban minggu. Tetapi pengerusi surau, Sdr Ribbang Hj Ampong meminta saya mengalihkan tajuk malam itu berkenaan tentang tanggungjawab AJK surau.

Malam itu selepas solat isyak diadakan penyampaian secara ringkas sijil-sijil perlantikan AJK surau bagi sesi 2008-2010. Jadi sebelum penyampaian itu dilakukan, saya diminta menyentuh sedikit tentang tanggungjawab sebagai AJK surau.

Ada beberapa pesanan saya buat AJK surau berkenaan.

p4050052Pertama, mengikhlaskan niat kerana Allah SWT. Apabila menjadi AJK betulkan niat, dan kehadiran ke surau sama ada untuk solat berjamaah atau mengimarahkan aktivitinya diniatkan kerana Allah, bukan datang kerana AJK.

Orang yang datang dengan sebab dia AJK saja, nanti kalau dia tidak lagi AJK, dia tidak akan datang lagi. AJK atau tidak, surau tetap kita datang dan kunjungi.

p4050053Kedua, menambahkan ilmu. Sama ada ilmu yang berkait tentang ibadah khusus seperti solat, al-Quran, ataupun yang berkait tentang pentadbiran. Ini termasuklah ilmu menjadi setiausaha, bendahari dan sebagainya yang mesti dipelajari dari semasa ke semasa.

Apabila AJK biasa boleh membaca al-Quran dengan baik, mengetahui peraturan solat, maka ia boleh menjadi imam tanpa menanti-nanti kehadiran ustaz yang diketahui banyak program dan jemputan di sana sini.

p4050055Ketiga, memberi contoh yang baik. AJK surau adalah daie iaitu pendakwah, dan mereka mesti lebih baik daripada jamaah yang lain dan mereka yang tidak hadir ke surau. Adab adab pergaulan dengan masyarakat mesti dijaga dengan baik supaya tidak menimbulkan fitnah.

Contoh paling dekat ialah, AJK surau adalah orang yang kerap dipanggil kenduri. Jadi mereka yang hadir kena mengetahui adab ketika berkunjung ke rumah orang, sama soal menjaga mata, makan, percakapan dan sebagainya.

p4050064Keempat, semua AJK hendaklah bersatu hati dalam melaksanakan program. Berlapang dada dengan cadangan dan teguran kawan-kawan, dan membantu syukbah atau biro lain apabila aktiviti diadakan.

Bersatu hati juga dengan maksud sedia mengambil berat tentang masalah sesama AJK dan jamaah, bukan menyusahkannya lagi. Ziarahi dan berbincang dengan cara yang terbaik, bukannya bertengkar dan bermasam muka apabila tidak sependapat.

Berlainan pendapat adalah warna warni dalam kehidupan, tetapi apabila keputusan diambil secara muafakat hendaklah diterima secara redha walaupun tidak menyebelahi kita.

p4050067Kelima, kreativiti AJK untuk merancakkan aktiviti surau. Matlamat kita ialah agar umat Islam di sekeliling surau hadir mengimarahkan surau. Jadi kreativiti perlu untuk menarik perhatian mereka sama ada kanak-kanak, remaja lelaki dan perempuan, para belia beliawanis dan orang dewasa.

Selain itu kreativiti pihak yang memegang kewangan seperti bendahari dan syukbah ekonomi untuk menjadi tabung surau – yang tiada kutipan tabung solat jumaat, bagaimana hendak merancakkan tabung agar aktiviti mudah berlangsung.

Orang dewasa memang biasa dengan kuliah, kursus dan ceramah. Tetapi mungkin tidak bagi remaja. Cari idea agar mereka hadir ke surau dengan aktiviti yang menarik minat mereka selama aktiviti itu dibenar agama.

Beri mereka peranan seperti membentang sajadah oleh kanak-kanak, menjadi muazzin dan bilal tarawih kepada remaja lelaki, menghidang jamuan kepada anak-anak remaja perempuan dan sebagainya. Akhirnya, berikan penghargaan kepada mereka sama ada berbentuk pujian atau sijil penghargaan dan seumpamanya.

Surau mesti mesra kepada semua orang. Fikirkanlah.