Sebuah lagi kisah saudara kita tentang punca dan asbab beliau memeluk Islam. Orang yang dimaksudkan bernama Mohammad Zawawi Lo Abdullah, 22 tahun.

Ketika saya berumur 18 tahun iaitu semasa berada di tingkatan 5, saya bersekolah di SMK Putatan dan tinggal di asrama. Rata-ratanya adalah pelajar beragama Islam di sana.

Tiap-tiap hari sebelum azan subuh berkumandang, saya bangun dan membuat persiapan diri untuk ke sekolah. Keadaan di asrama agak sunyi sepi masa itu.

Apabila waktu azan subuh bermula, saya begitu tertarik melihat pelajar-pelajar muslim bergegas ke surau untuk menunaikan solat subuh. Ketika itu saya berada di dewan belajar.

Selain itu, saya tertarik cara orang muslim bersembahyang yang begitu teratur dan bersih. Setiap langkah mereka lakukan mempunyai langkah yang teratur dan cantik.

Apabila mereka selesai menunaikan solat subuh, ada rakan saya datang ke dewan belajar dan terus membuat ulangkaji pelajaran. Saya melihat keadaannya begitu tenang dan relaks membuat ulangkaji pelajarannya, saya begitu tertarik.

Pada masa itu, saya pun berniat di dalam hati : “Bilalah saya boleh jadi seperti mereka yang tenang ini?”

Akhirnya pada 9 Februari 2006, saya diislamkan di Masjid Negeri Sabah.

Alhamdulillah, nikmat hidayah diberi oleh Allah. Saya betul-betul bersyukur dan bertekad ingin menjadi muslim yang beriman dan soleh di jalan Allah SWT.

Saya mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhamma adalah pesuruh Allah.

Kejadian subuh banyak manfaat untuk diri saya dan selamanya. Setelah masuk Islam, saya banyak mempelajari agama Islam dan keadaan saya begitu tenang dan yakin berbanding sebelumnya. 🙂

Saya mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat Zawawi yang telah memberi contoh sebagai muslim yang baik sehingga Zawawi tergerak memeluk Islam. Syukur alhamdulillah yang memberikan hidayah kepadanya.