p4030096Semalam, saya menyambung kembali kuliah di Giat MARA Kota Kinabalu. Buku yang menjadi rujukan ialah buku bertajuk : ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ karangan Ustaz Fathi Yakan.

Kuliah masih lagi berlegar dalam bab 1 : Saya Mesti Muslim Di Sudut Akidah, perkara 4-10.

Dalam kuliah ini, kira-kira 30-40 pelajar GiatMARA hadir. Nampaknya, mereka sudah selesa dengan kelas berkenaan.

Salah satu perkara yang ditekankan oleh pengarang bahawa urusan penciptaan undang-undang adalah hak mutlak Allah SWT. Manusia tidak boleh mendahului dan membelakanginya.

Apa yang dibenarkan ialah, para ulama boleh berijtihad mengeluarkan hukum dari nas-nas syariat dalam batas yang diizinkan.

Lihatlah hari ini banyaknya berlaku jenayah yang tidak sudah-sudah, kemalangan jalanraya yang tidak pernah surut, rasuah yang menjadi rahsia umum, siri pembunuhan kejam dan bermacam lagi.

Hampir 5-6 tahun lalu, saya pernah mengajar al-Quran kepada anak-anak polis di sebuah surau dalam kawasan balai polis. Biasanya saya hadir menjelang isyak. Pernah saya menanti azan isyak di dalam kereta dan apabila masuk waktu, saya tidak mendengar pun azan dilaungkan.

Apabila saya masuk ke dalam surau dan bertanya adakah sudah azan isyak? Mereka mengatakan sudah. Saya bagitau saya tidak dengar pun dari dalam kereta di tepi surau. Mereka kata bilal tidak guna PA system.

Saya tanya lagi kenapa tidak pakai? Mereka kata, PA system kena curi. Oh!! PA system kena curi. PA system ada dalam surau. Surau tu pula terletak dalam balai polis.

p4030097Teringat masa belajar dahulu, saya pernah bertanya kepada tuan guru : Mengapa pemimpin negara tidak menjalankan undang-undang jenayah Islam?

Jawapan ustaz hanya satu : Kerana mereka tidak mahu. Adapun hujah masyarakat majmuk, mendahulukan pendidikan dan sebagainya hanya helah. Hakikatnya mereka tidak mahu.

Mereka mahu jadi tuhankah?