dato1Sepatutnya, kisah yang saya catatkan ini tidak lagi berlaku pada zaman begini. Ia sepatutnya bukan isu atau sesuatu yang perlu dibawa ke tengah perbincangan. Tetapi inilah namanya kedangkalan.

Beberapa sahabat saya ditegur oleh beberapa pegawai kanan, hanya kerana semata-mata memakai kopiah putih ketika waktu bekerja. Apabila cerita berkenaan sampai ke telinga saya, saya mengucap panjang.

Menutup kepala bagi perempuan adalah satu kewajiban kerana kepala termasuk aurat. Sementara menutup kepala bagi lelaki adalah satu sunnah yang baik, kerana ia adalah amalan dan anjuran Nabi SAW.

Masih ramai wanita Islam belum menutup aurat, sementara lelaki tidak ramai yang menutup kepala sama ada dengan kopiah atau songkok. Jadi, apa masalahnya?

Masalahnya ialah sepatutnya tumpuan diberikan kepada orang yang belum menutup aurat, atau membetulkan staf wanita yang belum sempurna penutupan auratnya, begitu juga galakan kepada lelaki agar menutup kepala. Bukannya sibuk menyiasat kenapa pakai kopiah putih.

Saya telah membuktikan ketika belajar di Maahad Tahfiz, bertugas di Masjid Negeri, di Maahad Tahfiz, di Istana Negeri dan kini di BPI tidak ada sebarang masalah pun dengan memakai kopiah. Tidak pernah pun ditegur apa-apa. Tak taulah kalau ada yang sinis dan berbulu dengan kopiah putih itu.

Di Istana Negeri dahulu, hanya acara rasmi saja saya memakai songkok hitam, terutama melibatkan acara di bilik kunjungan dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran. 

Manakala acara lain melibatkan TYT, atau ketika di pejabat saya konsisten memakai kopiah putih, dan TYT Tun tidak pernah sekali pun bising atau mempertikaikan kopiah itu. Bahkan SU Sulit beliau pun pakai kopiah yang sama. Apa mau kecoh. Sebab itu saya kata ia bukan isu.

5Kita fahamlah ini zaman kebangkitan PR khususnya Parti Islam yang sinonim dengan kopiah putih itu. Sebenarnya, tak ada masalah dengan kopiah putih dengan songkok hitam.

Tetapi apalah salahnya dengan kopiah putih dan PAS itu, PAS bukan ajaran sesat, bukannya pertubuhan yang haram, ia pertubuhan yang sah dan berdaftar di dalam negara demokrasi ini.

Bahkan ia adalah parti yang memperjuangkan Islam di dalam negara ini. Teringat seloroh seorang sahabat, juga pegawai kerajaan apabila dia selalu dijolok sebagai orang PAS, dia pun menjawab : “Saya tak mau fail. Saya mau PAS!”

munajat_perdanaSebenarnya, jika dilarang pun memakai kopiah putih, itu hanyalah sekadar menyedapkan mata mereka yang membenci dan fobiakan PAS sahaja.

Sahabat saya yang ditegur itu, longlai dan langsung memakai songkok hitam. Tetapi memakai songkok hitam tidaklah dapat mengubah minda seseorang PAS untuk tidak PAS lagi. Sebab ramai juga orang PAS pakai songkok hitam. Yang tidak pakai pun ada.

Jangan pula nanti sesudah sibuk dengan soal jawab hal kopiah putih, sibuk pula dengan lambang bulan.

Bayar gaji ikut bulan, bukan ikut dacing. Mau puasa tengok bulan, bukan tengok dacing. Mau raya, tengok bulan, bukan tengok dacing. Perempuan yang baligh datang bulan, bukan datang dacing.

Bini kita mengandung pun orang tanya : “Berapa bulan?” Entahlah kalau ada yang tanya : “Berapa dacing?”