Archive for Mac, 2009


HALIMAH KELATE

p3260065Tatkala orang yang meminati politik semasa khusyuk menyaksikan ucapan dasar Presiden UMNO DS Pak Lah dari PWTC, sama ada hadir sendiri di lokasi atau terpacak di hadapan tv, ketika itu juga saya bersama Cikgu Hashim hadir seketika ke Terminal 2, LCCT KK.

Tujuannya untuk turut serta menghantar pulang dan bercuti Puan Halimah bersama dua anak perempuannya yang berumur 11 dan 7 tahun.

Kisahnya begini.

Halimah Deris berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan. Ditakdirkan berkahwin dengan seorang muallaf dari Kota Marudu, Khamal Khairi Ronnie namanya. Mereka 4 beranak tinggal sekali dengan ibu bapa Khairi dan ipar duai yang masih beragama Kristian SDA seramai 12 orang kesemuanya.

Khairi hanya seorang penoreh getah di kebun milik ibunya sementara Halimah menjadi tukang jahit di Pekan Kota Marudu.

Masalah yang melanda mereka bermula apabila sejak 6 tahun lalu mereka kembali ke Kota Marudu, Halimah merasa janggal dengan jumlah ahli keluarga yang terlalu ramai di dalam rumah, sehingga beliau merasakan tiada kebebasan untuk melakukan sesuatu di dalam rumah.

p3260067Anak-anaknya kerap dimarahi oleh ipar duainya, sementara dia sendiri lebih kerap berada di bilik berbanding di ruang tamu. Katanya, selama enam tahun beliau sudah cukup bersabar.

Sebenarnya, Halimah suka tinggal di Kota Marudu. Masalahnya dia tidak merasa serasi di rumah itu. Asalnya dia sudah nekad untuk kembali ke Kelantan. Tetapi anak-anaknya enggan berpindah sementara suaminya tidak turut serta.

Akhirnya, Halimah memberitahu kami bahawa dia akan kembali ke Kota Marudu 25 April akan datang. Saya menjelaskan kepadanya bahawa tempat seorang isteri ialah di sisi suaminya. Menjadi kesalahan, jika ia meninggalkan suaminya begitu sahaja.

Kami begitu bimbang, jika Halimah berubah fikiran dan terus menetap di sana. Bukan risaukan Halimah sangat, tetapi suaminya seorang muallaf yang masih tinggal bersama ahli keluarganya yang belum Islam.

Dalam ketika kita mengharapkan cahaya hidayah bertambah di rumah mereka, jangan lupa tidak mustahil orang di rumah itu juga mungkin mendakyah Khairi dan seluruh keluarganya.

Bersama beberapa sahabat, kami mengajukan masalah ini agar Halimah balik semula nanti ke Sabah dengan suatu pujukan bahawa kita semua akan membantu mencari dana membuatkan sebuah rumah kecil untuk mereka sekeluarga.

“Rumah kecil pun tak apa”. Halimah begitu berharap.

BLOG TOK GURU

splash01Jangan tak tau, al-Mursyidul ‘Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), YAB Tok Guru Dato’ Hj Nik Abd Aziz Nik Mat sudah punya blog. Ia baru dilancarkan pada petang tadi.

Ada masa, layari blog http://www.blogtokguru.com/

p3250053Sedikit masa dulu, saya ada buat sedikit promo tentang satu aktiviti surau iaitu belajar silat.

Sebenarnya program seni silat ini sudahpun bermula beberapa sesi. Ia diadakan pada setiap rabu, selepas solat isyak di surau Riyadhus Solihin, Taman Austral. Buat masa ni, sudah ada 4-5 orang anak murid menyertai latihan silat.

Sesiapa nak join, masih belum terlambat. Sekarang ni masih belajar pasang kuda-kuda.

p32500321Alhamdulillah, dengan notis yang diberikan oleh Ust Zulhazmi Osman hanya 24 jam, saya bersyukur kehadrat Allah dan berterima kasih kepada Badan Kebajikan Islam SPAN yang sudi memberi laluan dan ruang kepada Ust Yusof menyampaikan tazkirah ringkas, sekitar sejam cuma di bilik mesyuarat mereka tengahari semalam.

Sasaran kehadiran 20 orang juga nampaknya dapat diatasi oleh pihak BKI apabila kehadiran hampir 30 orang.

Nampaknya semua yang hadir berpuas hati dengan penyampaian Ust Yusof yang tidak lekang dengan penggunakan tayangan lcd. Audien bukan sahaja boleh mendengar bahkan membaca sekali nota-nota di layar hadapan mereka.

Tajuk berkenaan Rasulullah SAW juga dikupas dengan baik, bukan mendedahkan tentang diri Rasulullah SAW yang banyak disentuh penceramah lain, tetapi lebih kepada tanggungjawab dan kewajiban seorang muslim terhadap Rasul itu sendiri.

p3250039

p3250042

Tarikh : 27 Mac 2009 (Jumaat)

Masa : 8.30 – 9.30 pagi

Tempat : Wisma Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Tajuk : Maulidur Rasul SAW

pc220178Hari ini merupakan sambutan Hari Polis ke 202 (1807-2009).

Saya mengetahui, bahawa antara pelayar blog ini ialah anggota-anggota polis.

Ada yang melayarinya kerana mereka kawan-kawan saya, dan ada juga yang bertindak sebagai pemerhati dan pemantau.

Dalam blog ini pun, saya pernah beberapa kali menyentuh berkenaan mereka.

Bahkan antara artikel yang terawal apabila seorang sahabat baik (SB) berkunjung ke pejabat ini gara-gara teks khutbah berkenaan isu tuduhan zina dan liwat.

Saya juga pernah menyentuh tentang Balai Polis Menumbok dan Putatan dan memberi komentar berkenaan keselesaan mereka bertugas.

Saya sendiri banyak mengenali dan bersahabat bahkan sebilik pejabat dengan mereka khusus ketika di Istana Negeri dahulu. Begitu juga anggota trafik yang selalu mengiringi TYT dan rombongan dalam mana-mana perjalanan. Persahabatan itu berjalan baik sehingga sekarang.

Saya kira semua maklum, PDRM secara umumnya mengalami krisis kepercayaan awam yang amat teruk ketika ini. Ini berdasarkan beberapa tindakan segelintir anggota PDRM yang dipandang zalim dan kejam oleh rakyat.

Isu terkini apabila pasukan FRU menghambat dan menangkap rakyat yang hadir ke dalam ceramah PKR di Bukit Selambau. Ia seolah-olah menjadi sinonim apabila rakyat terpaksa bertempur dengan PDRM yang seolah-olah memusuhi rakyat.

Peristiwa hitam pekat begitu, tidak berlaku sekali tetapi begitu kerap dan akhirnya menjadi sinonim bahawa rakyat menganggap PDRM tidak membela dan menjaga keadilan, keselamatan dan keamanan tetapi membela UBN serta suku sakat mereka.

Saya berdoa semoga polis-polis yang terlibat bertaubat kepada Allah, menginsafi bahawa semua perlakuan baik dan jahat akan dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil. Insafilah kalimah Allah dan RasulNya yang tersemat pada logo PDRM itu.

Kesempatan ini, dalam masa yang sama saya mengakui masih ramai anggota PDRM yang baik hati. Oleh itu saya mengucapkan selamat hari polis mereka khususnya kepada sahabat-sahabat dan kenalan saya daripada anggota keselamatan pasukan PDRM.

Supt Hj Abd Latif Hj Ibrahim (ADC TYT, Istana Negeri)

DSP Hj Abd Malik Dolisin (Bekas ADC TYT)

C/Insp. Abd Lamat Hj Taman (CSO Istana Negeri)

Sarjan Abu Bakar Kahar (Pengiring TYT)

Koperal Ajim Akim (Pengiring TYT)

Koperal Jamil Dan (PGA Kepayan)

Konstabel Ridzuan Ismail (Pengiring TYT)

L/Koperal Wan Azman Wan Salleh (Pengiring TYT)

Sarjan Hj Nasip Saruddin (IPD KK)

Sarjan Zainon Mat (Tawau)

Koperal Sobri Salam (IPK Kepayan)

Sarjan Jumain Lanusu ( IPD WP Labuan)

Sarjan Shamsul Baharin Yunus ( IPD Penampang)

ASP Misron Panan (Cawangan Khas, IPK Kepayan)

Dan ramai lagi di kalangan pegawai dan anggota PDRM pelbagai posisi dan pangkat sama ada kenalan dalam menjalankan urusan rasmi atau pengikut setia dalam kuliah-kuliah dan ceramah di masjid dan surau.

Doa saya agar mereka dapat menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya. Allah Maha Melihat akan apa yang kita lakukan. Semoga rezeki yang kita terima halal di sisi Allah SWT, lantaran tugas kita menepati kehendak agama.

Dahulu, zaman kegemilangan DSAI sebagai TPM, ramai mengakui bahawa aktiviti keagamaan di jabatan-jabatan, pejabat-pejabat dan seumpamanya berjalan dengan begitu rancak dan berkembang.

Aktiviti seumpama usrah, ceramah bulanan, tazkirah mingguan, bacaan yasin, kelas mengaji dan bermacam lagi aktiviti menjadi program tetap di mana-mana jabatan. Setelah itu, ia seolah-olah mati dan pengsan sekejap.

Tetapi, nampaknya sekarang ia bercambah kembali.

Saya merasakan begitu kerana sejak 3-4 bulan kebelakangan, kerap benar dijemput menyampaikan ceramah, tazkirah, dan seumpamanya di jabatan-jabatan atau agensi kerajaan dan swasta. Kedengaran juga ramai sahabat-sahabat mengisi program begitu sehingga bertembung dengan program lain dan ditolak kepada orang lain.

Walaubagaimanapun, dalam kerancakan itu, masih banyak jabatan yang liat untuk mengadakan program seumpama itu.

Saya mencadangkan untuk jabatan atau agensi yang belum pernah mengadakan program tazkirah atau ceramah ini agar merintis secara berdikit-dikit.

Mulakan dengan ceramah sempena hari kebesaran Islam dahulu seperti Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Isra Mi’raj, Awal Ramadhan, Hari Raya Fitrah, dan Hari Raya Haji. Apabila sudah konsisten dan staf boleh menerima suasana program itu, bolehlah dikerapkan kepada ceramah bulanan.

Demikianlah juga apabila ceramah bulanan sudah tampak stabil, dibuatkan pula tazkirah dwi mingguan atau mingguan. Kerap lagi, buatkan kelas mengaji al-Quran setiap hari atau beberapa hari dalam seminggu.

Sebenarnya ketika mengadakan program ini, akan terasa suasana mahabbah dan santai. Interaksi antara penceramah dan audien akan lebih memeriahkan program dan mencambahkan daya fikir kesemua yang hadir. Akhirnya, penceramah atau pembimbing akan membuat satu kesimpulan yang mengikat audien supaya kasih kepada Islam.

Saya teringat cadangan dan kekreatifan yang dibuat oleh Sdr Ribbang di Jabatan Pelajaran ketika mengendalikan ceramah sempena kebesaran Islam. Pegawai-pegawai kanan yang mulanya liat untuk hadir, mula menunjukkan minat apabila diadakan kuiz selepas ceramah.

Soalan yang diberikan berdasarkan isi kandungan ceramah pada awal majlis. Ini membuatkan kebanyakan audien termasuk pegawai-pegawai kanan tadi sentiasa menggenggam pen dan kertas untuk mencatat isi penting ceramah.

Hadiah-hadiah berbentuk hamper berharga sekitar RM20 satu menjadi rebutan dan ia disumbangkan sendiri oleh pegawai-pegawai kanan itu.

Saya kira pendekatan itu boleh dilakukan bagi menarik perhatian dan dalam masa yang sama dibetulkan niat mereka yang hadir.

Sementara saya mengucapkan semoga berjaya kepada mereka yang bakal mengadakan program ini, saya turut mengucapkan tahniah kepada jabatan atau agensi yang begitu istiqamah mengendalikan ceramah-ceramah dan tazkirah seperti pejabat MUIS, LHDN, Penjara dan sebagainya.

MASJID PEKAN MESAPOL

p3210117Dalam perjalanan balik, kami singgah solat zuhur dan asar di masjid Pekan Mesapol. Kerap ke Sipitang, saya selalu singgah solat di Masjid Pekan Sipitang dan hanya melintasi masjid Pekan Mesapol.

Masjidnya comel, boleh memuatkan sekitar 600 ratus jamaah, dan kebersihannya menyedapkan mata memandang. Kepada semua JK, kami mengucapkan tahniah melihat tahap kebersihan dan kekemasan masjid berkenaan.

Semoga kebersihan dan kekemasan masjid berkenaan diikuti dengan pengimarahan dan aktiviti yang memberi manfaat kepada semua jamaah.

p3210118

p3210126

p3210082Kg Tg Pagar yang kami kunjungi lokasinya tidak jauh dari pantai. Bahkan daerah Sipitang sendiri yang berada di sempadan Sabah-Sarawak memang terletak di tepi pantai.

Sebenarnya pemandangan lautnya indah.

Cuma apabila melihat persisiran pantainya kelihatan berserabut, hilang selera. Saya dan beberapa sahabat baru berkira-kira hendak membuat program perkelahan di sini satu masa nanti.

Memandangkan kawasannya yang tenang dan sunyi, sesuai sekali membawa keluarga masing-masing untuk berehat dan melepaskan lelah kota dan bandaraya.

Harapnya, majlis daerah lakukanlah sesuatu. Kalau kekurangan staf, lakukan gotong royong atau projek amal bersama PLKN, UMS atau seumpamanya.

Sesungguhnya Sipitang punya aset berharga untuk tatapan pelancong. Tetapi kalau inilah rupa pantainya, orang akan berfikir dua kali. Teguran ini bukan menandakan marah, tetapi sayang.

p3210080

p3210092Selain kumpulan marhaban & kompang kaum ibu yang memeriahkan perkahwinan Hazida dan Mohammad Hisham sabtu lepas, ada satu kumpulan alat muzik tradisional yang turut mencuri tumpuan hadirin.

Kumpulan Cenderawasih dari Kg Pelakat Sipitang ini, menurut jurucakap mereka telah ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

p3210091Menggunakan alat muzik kulingtangan sadaman, mereka sedia memeriahkan majlis-majlis keramaian sekiranya mendapat undangan.

Lihat saja mereka menggunakan alat-alat berdasarkan kayu dan tumbuhan seperti tempurung kelapa dan sebagainya.

Saya kira, unsur permainan muzik tradisi seumpama ini boleh dimanfaatkan dan dikembangkan lagi khususnya dalam majlis perkahwinan. Asal saja lagunya berpatutan dengan agama kita.

Lagipun memang dianjurkan agar majlis perkahwinan diadakan dengan meriah tanda kegembiraan bahawa sebuah rumahtangga Islam telah terbina.

%d bloggers like this: