Muqaddimah kepada kisah ini ada pada Ust Azam . Seorang muallaf memohon bantuan kerana hendak berkahwin tetapi tidak punya kecukupan duit.

Terkenang beliau seorang saudara baru yang belum setahun memeluk Islam, saya menyertai beberapa sahabat berkunjung ke rumah pihak perempuan.

Ketua rombongan kami ialah Sdr Ribbang Ampong, Pengerusi Surau Taman Limauan yang juga Timbalan Pengerusi PIBG SK Pekan Kinarut. Tujuan utamanya untuk merunding kembali agar tempoh wang diberikan dilanjutkan lagi selama sebulan.

Menurut empunya badan, dahulunya dia merasa yakin akan dibantu oleh orang tuanya yang bukan beragama Islam. Bapa seorang hindu dan ibu kristian dan bekerja di luar negara. Tetapi apabila dia mengesahkan sudah memeluk Islam, kedua orang tuanya sangat terguris dan memutuskan hubungan serta tidak lagi mengirimkan duit kepada anak tunggalnya ini.

Setiba kami di sana, kedua orang tua perempuan begitu terkejut dengan kehadiran kami. Dalam bahasa suku mereka, mereka melenting dan begitu marah sekali.

“Siapa yang bawa mereka ke mari?” Kata mereka.

Sebenarnya dalam rombongan kami, ada dua orang yang faham dan boleh berbahasa dengan baik bahasa sukuan bajau suluk mereka. Mereka benar-benar terkejut apabila Sdr Ribbang dan Sarjan Wahid bertutur dengan bahasa mereka.

Pendek cerita, keluarga berkenaan bersetuju untuk memberi tempoh sebulan lagi. Hujung bulan april nanti, rombongan yang sama akan datang bertemu sama ada duit yang dijanjikan cukup atau tidak.

p3290046Peribadi saya sendiri mengatakan rundingan petang itu kemungkinan besar gagal kerana sang jejaka sudah berjanji beberapa kali kepada keluarga perempuan dan gagal ditunaikan.

Tetapi tuah kami saya lihat pada diri Sdr Ribbang (bersongkok).

Kepetahannya memimpin majlis sehingga seluruh keluarga mereka lunak dan tunduk membuatkan saya tabik pada beliau.

Sembang kami diselang selikan dengan gelak ketawa dan cerita yang menggembirakan semua.

Keluarga itu yang pada asalnya kurang senang dengan kehadiran kami, akhirnya berubah gembira di hujung pertemuan. Bahkan makcik-makcik yang hadir menjelaskan, ketika Sdr Ribbang dicalonkan untuk timbalan pengerusi PIBG tempohari, mereka semua adalah penyokong dan pengundi beliau.

Patutlah ketika kereta kami masuk ke kawasan kampung itu, ramai orang angkat tangan ke arah kami. Ingatkan lambaian dan sapaan itu untuk saya, rupanya untuk Sdr Ribbang yang duduk di sebelah. Perasan betul.

Saya pancing makcik-makcik itu, kalau Sdr Ribbang jadi calon, kamu mau pangkah?

“Kami mesti undi. Ribbang orang baik. Selalu tolong orang”. Oh, fahamlah saya. Yang Berhormat Ribbang!

Sebelum berangkat pulang, bapa sang dara memeluk erat setiap kami dan berharap ada sesuatu yang baik pada pertemuan berikut nanti.