Minggu lepas, kelas pengajian untuk saudara kita – Teratak Fitrah mengadakan peperiksaan semester kedua. Saya terlibat sebagai pembuat soalan bagi subjek tauhid untuk ketiga-tiga tahap 1, 2 dan 3.

Dalam kesemua tahap, arahan terakhir dalam kertas peperiksaan mereka ialah meminta mereka menceritakan detik-detik, punca dan kisah mereka memeluk Islam.

Ramai yang menceritakan dengan baik dalam jawapan mereka. Ada jawapan yang membuat saya kagum, terharu dan ada juga yang membuatkan saya tersentak. Tak mengapa, itu adalah luahan mereka yang ditulis melalui kertas jawapan peperiksaan.

Saya catatkan semula satu jawapan yang menarik untuk kita renung semula.

Semasa saya melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam, saya telah ditempatkan di asrama, di mana rakan-rakan sebilik saya semuanya beragama Islam.

Di asrama saya ini, apa yang dapat saya perhatikan setiap bilik-bilik asrama tidak ada dua orang pelajar Kristian di dalam bilik. Semuanya hanya seorang pelajar Kristian dan selebihnya adalah pelajar Islam.

Mulanya saya menyangka pihak asrama sengaja berbuat demikian. Tetapi saya salah, ianya tidak disengajakan.

Rakan-rakan sebilik saya tidak memulaukan saya, sebaliknya saya yang bersikap sedemikian.

Pada suatu hari, saya telah menghidap demam denggi dan ditempatkan di bilik kecemasan UiTM untuk pengawalan rapi. Tiap-tiap hari, rakan-rakan sebilik saya bergilir menjaga makan dan minum saya. Ini menghapuskan segala tanggapan buruk saya terhadap mereka.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah, setiap kali Ramadhan tiba, saya akan sama-sama berpuasa dan berbuka puasa dengan mereka walaupun saya belum memeluk Islam.

Di situ, saya mula tergerak hati untuk memeluk Islam. Tetapi sehingga saya menamatkan pelajaran, saya tidak memeluk Islam.

Perkenalan saya dengan seorang wanita muslim mengubah segalanya. Saya memeluk agama Islam kerana berkahwin dengannya. Tetapi itu bukanlah sebab utama mendorong saya memeluk Islam.

Cara-cara hidup berlandaskan Islam cukup menarik minat hati saya, terutama apabila tangan saya disalam dan dicium oleh isteri. Terasa betul-betul dihormati. Menerima dan menjawab salam merapatkan hubungan sebagai muslimin dan muslimah biarpun baru bertemu.

Alhamdulillah, saya tenang sebagai seorang Islam dengan cara hidup seorang Islam yang cuba saya teladani, dan insya Allah saya akan teruskan untuk menjadi seorang muslim yang unggul di dalam hidup saya.

Catatan ini dibuat oleh Nazarul Geking Abdullah yang berumur 27 tahun, pelajar tahap 1. Jawapan dan catatan Nazarul membuktikan bahawa akhlak mulia umat Islam boleh mencairkan hati orang bukan Islam untuk menerima Islam sebagai anutan baru mereka.

Sahabat-sahabat Nazarul telah melakukan sesuatu yang betul dan mulia di sisi Islam apabila tidak menyisihkan Nazarul yang belum memeluk Islam ketika itu walaupun Nazarul bertindak memulaukan sahabat-sahabat muslimnya.

Insya Allah, saya akan memaparkan sebahagian lagi kisah-kisah mereka sebagaimana yang mereka jawab di dalam soalan.