SEGERA.

Seminggu dua lalu, saya ada mencatat satu laporan program gerai pameran sempena Festival Kesenian Islam Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu. (Rujuk artikel lama).

Dalam artikel itu saya ada mencadangkan agar pihak yang menganjur program seumpama ini akan meluaskan lagi peserta pameran dengan memberi ruang sama kepada NGO Islam yang semakin mekar di Sabah.

Saya mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya Ust Jumain Abd Ghani yang mengambil berat dan respon kepada pandangan berkenaan.

Beberapa hari lepas, saya dihubungi sendiri oleh Tuan Md Zulkifli Md Tahir, Pengarah Hospital Kuala Penyu.

Beliau adalah salah seorang AJK Pelaksana Festival Nasyid Peringkat Pedalaman Bawah yang akan diadakan pada 24 April di Pekan Kuala Penyu. Dalam JK itu, beliau diamanahkan sebagai penyelaras pameran.

Festival Kesenian Islam Peringkat Pedalaman Bawah yang diurusetiakan oleh JHEAINS itu akan melibatkan penyertaan dari Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Membakut dan Menumbok.

Setelah berbincang dengan Ust Jumain, maka beliau menghubungi saya bagi pihak Majlis Gabungan NGO’s Islam Sabah (CONCERN), untuk menjemput CONCERN menyertai pameran sempena festival berkenaan.

NGO’s Islam di Sabah yang berminat untuk menyertai gerai pameran boleh menghubungi saya dengan memberi respon dalam artikel ini. Penganjur berharap sokongan NGO’s Islam Sabah untuk memaklumkan lebih awal agar mereka dapat menyediakan tapak gerai dan khemah pameran menurut jumlah yang dikehendaki.

Selain NGO’s Islam, Tuan Md Zulkifli ada juga menjelaskan kepada saya agar menghebahkan tawaran gerai jualan kepada syarikat-syarikat berasaskan produk Islam untuk membuat gerai jualan di sana nanti.

Pameran sempena Festival Kesenian Islam Peringkat Pedalaman Bawah. Tarikh : 24 April 2009 (Sabtu). Masa : 7.30 pagi – 4.00 petang. Tempat : Dewan Shah Bandar Makan, Kuala Penyu.