Dahulu, zaman kegemilangan DSAI sebagai TPM, ramai mengakui bahawa aktiviti keagamaan di jabatan-jabatan, pejabat-pejabat dan seumpamanya berjalan dengan begitu rancak dan berkembang.

Aktiviti seumpama usrah, ceramah bulanan, tazkirah mingguan, bacaan yasin, kelas mengaji dan bermacam lagi aktiviti menjadi program tetap di mana-mana jabatan. Setelah itu, ia seolah-olah mati dan pengsan sekejap.

Tetapi, nampaknya sekarang ia bercambah kembali.

Saya merasakan begitu kerana sejak 3-4 bulan kebelakangan, kerap benar dijemput menyampaikan ceramah, tazkirah, dan seumpamanya di jabatan-jabatan atau agensi kerajaan dan swasta. Kedengaran juga ramai sahabat-sahabat mengisi program begitu sehingga bertembung dengan program lain dan ditolak kepada orang lain.

Walaubagaimanapun, dalam kerancakan itu, masih banyak jabatan yang liat untuk mengadakan program seumpama itu.

Saya mencadangkan untuk jabatan atau agensi yang belum pernah mengadakan program tazkirah atau ceramah ini agar merintis secara berdikit-dikit.

Mulakan dengan ceramah sempena hari kebesaran Islam dahulu seperti Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Isra Mi’raj, Awal Ramadhan, Hari Raya Fitrah, dan Hari Raya Haji. Apabila sudah konsisten dan staf boleh menerima suasana program itu, bolehlah dikerapkan kepada ceramah bulanan.

Demikianlah juga apabila ceramah bulanan sudah tampak stabil, dibuatkan pula tazkirah dwi mingguan atau mingguan. Kerap lagi, buatkan kelas mengaji al-Quran setiap hari atau beberapa hari dalam seminggu.

Sebenarnya ketika mengadakan program ini, akan terasa suasana mahabbah dan santai. Interaksi antara penceramah dan audien akan lebih memeriahkan program dan mencambahkan daya fikir kesemua yang hadir. Akhirnya, penceramah atau pembimbing akan membuat satu kesimpulan yang mengikat audien supaya kasih kepada Islam.

Saya teringat cadangan dan kekreatifan yang dibuat oleh Sdr Ribbang di Jabatan Pelajaran ketika mengendalikan ceramah sempena kebesaran Islam. Pegawai-pegawai kanan yang mulanya liat untuk hadir, mula menunjukkan minat apabila diadakan kuiz selepas ceramah.

Soalan yang diberikan berdasarkan isi kandungan ceramah pada awal majlis. Ini membuatkan kebanyakan audien termasuk pegawai-pegawai kanan tadi sentiasa menggenggam pen dan kertas untuk mencatat isi penting ceramah.

Hadiah-hadiah berbentuk hamper berharga sekitar RM20 satu menjadi rebutan dan ia disumbangkan sendiri oleh pegawai-pegawai kanan itu.

Saya kira pendekatan itu boleh dilakukan bagi menarik perhatian dan dalam masa yang sama dibetulkan niat mereka yang hadir.

Sementara saya mengucapkan semoga berjaya kepada mereka yang bakal mengadakan program ini, saya turut mengucapkan tahniah kepada jabatan atau agensi yang begitu istiqamah mengendalikan ceramah-ceramah dan tazkirah seperti pejabat MUIS, LHDN, Penjara dan sebagainya.