Sebelum menjelang tengahari Jumaat semalam, Kem Tahfiz yang berlangsung sepanjang 5 hari di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral ditangguhkan secara rasmi oleh Ust Hj Nahar Hj Matamin, Penolong Pengarah Unit Masjid, JHEAINS.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Ust Zulhazmi Osman dalam ucapannya, pendedahan awal kem tahfiz ini memberi manfaat kepada semua pihak.
Kepada para tenaga pengajar Pusat Pendidikan Islam an-Nur yang menjadi hos dalam program ini, ia menjadi latihan dan pengalaman untuk menganjurkan program lebih besar.
Begitu juga kepada 9 fasilitator dari Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah, memberikan pengalaman penting sebelum mereka berada dalam masyarakat sesudah menamatkan pengajian nanti.
Kepada para pelajar, ia mendedahkan kepada mereka serba sedikit kaedah menghafaz al-Quran yang betul dengan bimbingan mereka yang ahli dalam bidang ini.
Tidak ketinggalan kepada ibu-bapa, dengan menghantar anak-anak menyertai program ini telah menyelamatkan anak-anak daripada program yang tidak bermanfaat sepanjang cuti seminggu ini.
Dalam ucapan penangguhan Ust Hj Nahar pula, beliau menjelaskan bahawa penganjuran program seumpama ini telah membuka ruang kepada ibu bapa bahawa menghafaz al-Quran itu adalah sesuatu yang sepatutnya menjadi keutamaan bagi menyedarkan umat Islam tentang al-Quran.
Dengan pendedahan seumpama ini mudah-mudahan memberi suatu impak yang baik bagi melahirkan generasi al-Quran, yang kasihkan agama dan kebaikan, serta bencikan kejahatan dan kemaksiatan seperti yang banyak berlaku di sekeliling masyarakat moden hari ini.
Pihak JHEAINS katanya sentiasa menyokong serta mengalu-alukan program yang melahirkan modal insan yang terbaik untuk kebaikan bersama.


Program 5 hari yang julung-julung kali diadakan telah mendapat sambutan diluar jangkaan, apabila penganjur menerima 122 peserta berbanding sasaran seramai 100 peserta sahaja. Ketika majlis penutupan semalam, ramai ibu bapa yang hadir menunjukkan sokongan dan komitmen untuk kejayaan anak masing-masing.
Terdahulu, pada pagi Jumaat semalam diadakan musabaqah tilawah, hafazan dan menulis khat daripada kalangan peserta program.
Semua hadiah, sijil dan cenderamata kepada pemenang, peserta dan fasilitator disampaikan oleh Ust Hj Nahar (JHEAINS), Ust Mohammad Shuaid (Timbalan Pengerusi JK Surau), Ust Zulhazmi (Mudir PPIN), Tuan Hj Rahimin (Pengerusi Lembaga PPIN), Cikgu Annuar Ali (wakil ibu bapa) dan Cikgu Abd Hamid Abu Bakar (Pengarah PASTI Pantai Barat Sabah).
Kepada semua yang terlibat, Abu Nuha Corner mengucapkan sekalung tahniah. Semoga program seumpama akan diteruskan pada musim-musim akan datang.