(Petikan khutbah Jumaat 20 Mac 2009 / Masjid Jamek Inanam Laut)

p3200115Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Sediakanlah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa kepada Allah SWT.

Seterusnya, marilah kita mengambil pengajaran daripada firman Allah SWT :

“Dan apabila Kami hendak merosakkan satu negeri Kami perintahkan orang-orang kaya dan mewah (untuk melakukan kebajikan) tetapi mereka melakukan kefasikan dan kejahatan di dalam negeri. Maka sudah sepatutnya, berlaku kepada mereka hukuman, lalu negeri itu Kami hancurkan, sehancur-hancurnya”.

Saudara-saudara sekalian,

Ayat ini menunjukkan betapa kekayaan dan kemewahan dapat meruntuhkan sebuah negeri. Walaupun menjadi mencari harta kekayaan tidak dilarang malahan digalakkan untuk memenuhi tuntutan dunia dan akhirat, kebanyakan manusia apabila sudah hidup senang lenang, mewah dengan harta yang banyak, mereka akan lupa kepada agama, lupa kepada Tuhan, lupa kepada solat, lupa kepada al-Quran, lupa kepada masjid dan sebagainya.

Sebenarnya orang-orang yang kaya pada zaman Rasulullah telah memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan dan dakwah Islam. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Abd Rahman bin Auf, Sayyidina Uthman bin Affan, Sayyidina Anas bin Malik dan ramai tokoh lagi adalah antara hartawan terbilang pada zaman Rasulullah SAW.

Dengan kekayaan yang mereka dapati secara halal dan benar, mereka menyumbangkan harta mereka pula ke jalan yang disukai oleh Allah SWT. Mereka bersedekah, menunaikan zakat, membantu fakir miskin, anak yatim, para janda, sumbangan kepada tentera Islam dan sebagainya.

Pada zaman ini, dalam masa kita meraikan sumbangan ramai tokoh korporat dan hartawan Islam, masih ramai lagi di kalangan mereka yang lupa kepada agama.

Menurut ayat al-Quran yang dibacakan tadi, Allah SWT telah memberi ruang kepada orang-orang yang berkuasa dan berharta untuk melakukan kebajikan. Orang yang berkuasa di dalam satu-satu negeri mempunyai kesempatan yang amat luas dengan sebab kekuasaan yang ada pada mereka.

Mereka bertanggungjawab kepada orang kebanyakan,terutama kepada negeri yang mereka diami. Begitulah juga kepada para hartawan dan orang-orang berada. Allah SWT yang Maha Kaya telah memberikan rezeki yang melimpah luah kepada mereka untuk melakukan kebajikan.

Malangnya, terdapat di kalangan mereka yang mendapatkan rezeki daripada sumber yang salah dan haram, mereka melakukan rasuah, merompak harta rakyat dan orang ramai. Tidak cukup dengan itu, mereka turut membelanjakan harta mereka ke jalan yang salah pula.

Sekali lagi mereka memberi rasuah kepada orang ramai, menganjurkan acara-acara maksiat, terlibat dalam jenayah dan sebagainya.

Menurut ayat dalam surah al-Isra itu, orang-orang mewah ini diperintah oleh Allah untuk mempelopori kebaikan dan kebajikan, melakukan yang baik dan meninggalkan yang mungkar. Oleh kerana mereka adalah contoh kepada rakyat untuk mengikuti peraturan dan undang-undang.

Kekuasaan dan kemewahan menyebabkan manusia menjadi mabuk lalu melakukan penderhakaan kepada Allah SWT. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa menjadi rahsia umum, ia menjadi darah daging.

Apabila harta dan hasil yang haram masuk ke dalam tubuh mereka, maka ingatlah akan pesan Rasulullah SAW :

كل لحم نبت من حرام فالنار أولى به

“Setiap daging yang tubuh dari sumber yang haram, maka api neraka lebih layak untuknya”.

Hadirin sekalian,

Manakan tidak, dengan kehidupan yang diliputi perkara haram, akan mempengaruhi kehidupan manusia keseluruhannya.

Lihatlah hari ini, di dalam rumahtangga, berlakunya porak peranda sehingga perceraian, berlakunya isteri yang curang dan durhaka, berlakunya suami yang tidak bertanggungjawab dan berpoya-poya, anak-anak seusia remaja dan pelajar sekolah terlibat dengan jenayah yang semakin menakutkan.

Di dalam masyarakat pula, masjid dan surau secara umumnya lengang, hanya berapa peratus yang memenuhi solat fardhu berbanding keluasan masjid, manakala yang hadir saban hari hanya bergantung kepada orang tua dan pencen.

Dalam masa yang sama, kompleks membeli-belah, stadium dan hiburan menjadi pilihan anak-anak muda, sehingga orang tua tidak mampu menegur lagi, sehingga akhirnya, solat yang menjadi tiang agama dan kehidupan umat Islam ini tidak lagi menjadi keutamaan umat Islam.

Zaman kita hari ini anak-anak muda lebih kenal artis si fulan dan si fulanah. Muzik dan dunia artis hiburan menjadi wirid dan siulan sepanjang hari, dalam masa yang sama ramai umat Islam sdah tidak kenal siapa nama Nabinya, bila tarikh lahirnya, bahkan tidak tahu untuk mengucapkan salawat dan salam kepada baginda.

Kehancuran yang menimpa ditambah lagi dengan banyaknya musibah yang melanda dunia. Berlakunya harga barang keperluan yang mahal dan semakin naik, banyaknya kemalangan jalanraya, meningkatnya penagihan dadah, berlakunya banjir, kebakaran yang luar biasa, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya adalah hasil kesalahan dan kesilapan manusia yang enggan menegakkan perintah Allah SWT.

Firman Allah :

“Telah nyata kerosakan di daratan dan di lautan, gara-gara akibat kerja usaha tangan manusia, supaya Kami merasakan kepada mereka sebahagian akibat daripada perbuatan mereka, supaya mereka kembali ke pangkal jalan”.

Hadirin sekalian,

Sebenarnya umat Islam pada hari ini sedang diserang di kiri dan kanan, depan dan belakang. Umat Islam diserang oleh musuh yang jauh iaitu Yahudi dan Nasrani, dan diserang juga oleh musuh yang hampir dan tidak disedari iaitu oleh orang munafik yang berada di sekeliling kita.

Kalau umat Islam di Palestin diserang dengan senjata dan bom, umat Islam di tanahair kita diserang dengan hiburan dan sukan yang melampau dan berlebihan sehingga sudah melupakan Tuhan dan agamanya sendiri.

Hadirin yang dikasihi Allah,

Sekiranya kita tahu dan menyedari bahawa betapa kita menghadapi cabaran yang hebat pada saat dan ketika ini, sepatutnya tidak tidak menjadi ummat yang lalai dan merasa selesa dengan kehidupan ini.

Ingatlah kita kepada suatu amaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW bahawa umat Islam yang ramai pada hari ini diserang dari segenap penjuru. Umat Islam menjadi umat yang lemah, kerana dua sifat yang berlegar dalam diri mereka. Sifat itu dijelaskan oleh Rasulullah SAW, al-wahn iaitu hubbud dunya wa karahiatul maut. Cinta dunia dan bencikan mati.