Archive for 19 Mac 2009


Malam ini saya diundang ke sebuah lagi kenduri masuk rumah baru. Kali ini di Lok Kawi Height, berhadapan dengan Taman Lok Kawi Sabindo Kinarut.

Empunya hajat orang Sipitang yang tidak saya kenali tetapi merupakan anak buah kepada Tuan Hj Sapawie Hj Thussin – Pengerusi Surau Austral. Anak buah Tuan Hj Sapawie juga bererti anak buah Datin Faridah Thussin (isteri DS Musa Aman).

Secara kebetulan, jiran sebelah rumah ini ialah sahabat lama satu sekolah dan sekelas di TPHR dahulu, Ustazah Pg Siti Umi Kalsum Pg Abdullah. Tamat di TPHR, Umi menyambung pengajian di Insaniah Kedah dan kemudiannya ke Universiti al-Azhar, Mansoura Mesir selama setahun. Umi telah pun mendirikan rumahtangga beberapa tahun lalu juga dengan orang Sipitang – Sdr Zulfikar Khomeini yang kini menjadi sahabat saya juga.

Zul bertugas sebagai juruaudit di Jabatan Audit Negeri, JKM di tingkat 4 Wisma MUIS, sementara Umi mengajar di SK Mesapol, Sipitang. Sejak beberapa bulan ini, Zul sudahpun membeli rumah di Taman Lok Kawi Height ini dan balik ke Sipitang pada setiap hujung minggu.

Zul dan Umi kini mempunyai dua cahayamata puteri yang comel. Anak sulungnya hampir sama nama dengan anak sulung saya. Anak sulung mereka Dg Nuha Sofiyyah lahir pada 11 Januari 2007 (anak saya Dg Nuha Wafiyyah lahir 3 Ogos 2003), sementara anak kedua Dg Alya Nazeeha lahir pada 11 Sept 2008.

p3190035

p3190041Kalau dahulu bertemu dalam keadaan bujang, kini bertemu dalam suasana masing-masing sudah punya keluarga dan kehidupan sendiri. Ceritanya juga agak dewasa dan matang, hal anak-anak, kerjaya, rumahtangga dan sebagainya.

Seronok bertemu sahabat-sahabat lama terutama rakan sekolah. Harapnya jika ada yang punya perkembangan terkini, bolehlah berhubung dan kita sama-sama kongsi kisah suka duka di dalam blog ini.

Begitulah apabila bertemu sahabat lama, selain mengetahui perkembangan terkini, pelbagai cerita zaman sekolah dan kisah kawan-kawan juga akan kembali menerpa ingatan. Apa khabar si fulan, sudah kawinkah si fulanah dan bermacam-macam persoalan.

Sebenarnya soalan perkembangan hidup ini tidak akan selesai sehingga kita mati.

Apabila kita sudah meningkat remaja dan belia, soalannya : “Bila mau kawin?” Apabila sudah berkahwin, soalannya : “Sudah berisi?”  Apabila sudah punya anak, soalannya : “Anak berapa?”

Apabila anak sudah dewasa, soalannya : “Bila mau terima menantu?” Apabila sudah punya menantu, soalannya : “Bila mau timang cucu?”

Hanya apabila kita sudah tiada soalannya tetap muncul, tetapi kepada ahli waris pula : “Bila arwah  meninggal?”

Tetapi, harus diingat pula, dalam kubur, giliran malaikat pula soal kita.. “Maa rabbuka?”

Tengahari tadi saya telah berhubung dengan pengerusi masjid, Hj Zakaria Muid. Sebagaimana yang telah kami bincangkan bersama minggu lalu, Insya Allah esok saya dijangka menyampaikan khutbah di Masjid Jamek Inanam Laut.

Jika diambil kira esok, ini adalah kali kedua saya berkhutbah di sana. Kali pertama dahulu ketika dewan utama masjid baru ini dibuka 2 tahun lepas bersama-sama dengan TYT Tun Ahmadshah Abdullah.

Seingat saya, khutbah ketika itu juga berlegar tentang keperibadian Rasulullah SAW. Insya Allah esok, saya akan menyampaikan khutbah berkenaan ‘rasuah dan orang mewah’ yang hangat diperkatakan sehari dua ini.

Selesai jumaat esok, teksnya akan saya muatkan di dalam blog ini.

p31700161Dua malam lepas, Ust Mad Sepanggar sekeluarga mengadakan kenduri kesyukuran, kerana masuk rumah setelah berpindah dari rumah lama. Bacaan Yasin dan doa dipimpin oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan diaminkan hampir 100 tetamu.

Rumah terkini Ust Mad Sepanggar bukannya di Sepanggar tapi di Taman Century Jalan Penampang. Nampaknya rumah baru Ust Mad lebih besar daripada yang dulu. Maklumlah, keluarga pun makin besar. Bolehlah buat usrah di rumahnya nanti.

Satu lagi, kerabat Abu Nuha Corner ucapkan selamat menyambut ulangtahun ke-35 kepada Ustazah Atiah Hj Abd Rahman, pemaisuri Ust Mad Sepanggar. Semoga taufik, hidayah, inayah dan barakah daripada Allah SWT bertambah keatas keluarga ini.

Err.. anak, tak tambah?

p31700061

p3170007a1

p31700121

%d bloggers like this: