Hampir tengahari sabtu, saya beralih pula ke rumah Cikgu Ajmal. Beliau orang Tenom, pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri. Khabarnya mahu ditukarkan ke Tenom dalam tempoh terdekat.

Tujuan ke rumahnya untuk mengajar mengaji al-Quran.

Saya tidak pernah bertemu dengan Cikgu Ajmal. Tetapi ada cerita menarik yang patut direnungi yang pernah menimpa diri Cikgu Ajmal ini. Cerita ini saya pernah dengar sebelum bertemu dengan beliau lagi.

Lebih setahun lepas, Cikgu Ajmal pernah disamun di tengah bandaraya Kota Kinabalu. Saya tidak ingat tarikh tepatnya. Bukan setakat disamun, beliau ditikam di sebelah bahu-leher.

Tiada siapa membantu beliau ketika itu. Beliau terpaksa berjalan kaki dengan berlumuran darah menuju ke Balai Polis Kota Kinabalu.

Setibanya di sana, beliau diminta membuat laporan polis terlebih dahulu di hadapan dua anggota polis perempuan yang bertugas sedangkan sepatutnya beliau dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Hampir 15 minit di sana, anggota polis  menjelaskan, bahawa ketika itu mereka kekurangan kenderaan. Mujur isteri Cikgu Ajmal datang mengambil beliau untuk dibawa ke hospital.

Kurang maklum apa punca kenderaan polis berkurang. Cuma mungkin boleh dikaitkan, malam itu polis berjaga beramai-ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ‘menyambut’ Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang punya program di Sabah.

Apakah ini benar membuktikan polis lebih sibuk menjaga ceramah politik pembangkang berbanding menjaga keamanan dan membasmi jenayah?