p3140052Jam 2 petang sabtu, saya berada di Surau Kolej Kediaman Indah Permai (KKIP), UMS pula.

Mengisi satu slot ceramah berkaitan keutamaan solat bersama sekitar 30 orang siswa lelaki UMS. Asalnya saya dimaklumkan urusetia bahawa jumlah peserta yang hadir seramai 100 orang. Di mana silapnya, saya kurang maklum.

Ada beberapa keutamaan solat sebagaimana kita maklum. Pertama, ia adalah satu syariat yang diterima oleh Rasulullah di langit dalam peristiwa mi’raj. Rasulullah mengadap Allah SWT bukannya wahyu turun ke bumi.

Kedua, dari segi perlaksanaan, rukun islam lain iaitu haji, puasa dan zakat boleh ditinggalkan sekiranya terdapat halangan kemiskinan, sakit dan seumpamanya. Sedangkan solat, dikerjakan oleh orang sihat dan sakit; orang kaya dan miskin; selama ia masih hidup.

Ketiga, solat adalah amalan pertama yang bakal ditanya pada hari kiamat. Sempurna solat, mudahlah amalan lain. Cacat solat, amalan lain akan bermasalah. Demikianlah.

Kecemerlangan solat pula berkait dengan kesempurnaannya bermula daripada wudhu’, pakaian, tempat, waktu, perlaksanaan, khusyuk, syarat, rukun, sunnat, keikhlasan dan sebagainya. Apabila itu semua sempurna, ia akan melahirkan hamba Allah yang berkualiti, kerana solat itu mempengaruhi hidupnya secara keseluruhan.