Saya mengalu-alukan beberapa sahabat yang mula menyertai dunia blog. Dunia yang semakin mendapat tempat untuk orang lain membaca dan melayari dunia peribadi. Sama ada ia berisi pendapat, kehidupan sendiri, ulasan dan seumpamanya.

Di rumah, jika punya sedikit masa, saya melayari blog-blog peribadi termasuk mereka yang saya tidak kenali. Ada yang nampaknya bermanfaat, tetapi kebanyakannya kosong daripada hidayah.

Hanya untuk meletakkan senikata lagu baru, filem terkini, berita dunia artis yang diminatinya, dan bermacam lagi. Jumlahnya bukan sedikit, berpuluh dan beratus ribu blog yang berdaftar di Malaysia Saya juga bertemu banyak blog yang dipunyai oleh anak sekolah seawal 9-10 tahun.

Kehadiran para du’at, ustaz ustazah dan aktivis Islam di semua peringkat, menyertai dan menghebahkan pengalaman dakwah, menulis sesuatu yang mereka tahu, tujuannya untuk meninggikan kalimah Allah, menyebarkan Islam sebagai satu cara hidup paling hebat dan indah di seluruh dunia melalui siber, kehadiran itu sangat dialu-alukan.

Tambahan, kita bertarung dengan puak-puak yang benci dan anti Islam, anti Allah, anti Rasulullah. Mereka ingin sekali menyebarkan ideologi khurafat, kufur dan seumpamanya ini khususkan kepada generasi Islam. Tetapi insya Allah, gerakan itu tidak akan berjaya. Islam akan terus subur. Cahaya Islam akan sampai ke mana sahaja cahaya matahari akan sampai.

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Bekerja dan beramallah kamu, nanti Allah, Rasulullah dan orang beriman akan melihat amal kerja kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan Allah yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu kamu diberitahu tentang apa yang telah kamu lakukan di dunia dahulu”.

Tidakkah kita ingin menyebarluaskan dakwah ini? Mari sertai kami. Jangan hanya baca blog. Buat blog sendiri, sebarkan Islam menurut cara dan kemampuan sendiri.

Selamat datang ke dunia blog :

1. Ust Hj Nor Azamuddin Umar :  http://abuawatif.wordpress.com/   . Beliau seorang ustaz, sahabat dan guru yang saya hormati dengan keilmuannya khusus dalam bidang tafsir, sirah dan bahasa arab. Bertugas kini di Maktab Sabah, sedang menyiapkan tesis PhD. Bergiat aktif berceramah dan berkuliah di merata tempat khusus di pantai barat Sabah. Dunia blog akan meluaskan lagi ruang dakwah Ust Azam.

2. Ust Md Jumat Abd Razak : http://albelurani.blogspot.com/ . Sahabat yang kini bertugas di Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam unit falak. Bolehlah nanti tolong-tolong aktifkan web Pejabat Mufti. Beliau seorang hafizul Quran dan giat mengajar al-Quran khususnya di kawasan perumahan Taman Pasir Putih Putatan. Sebagaimana nama blog, beliau berasal dari Beluran Sandakan.

3. Ust Hj Nahar Hj Matamin : http://hjnahar.blogspot.com/ Beliau pernah bertugas sebagai imam besar masjid negeri Sabah pada 2005-2008. Sebelum itu beliau di bahagian dakwah dan kini di bahagian pentadbiran masjid dan wilayah. Setakat ini blog beliau diselia oleh beberapa sahabat, berbentuk rakaman video kuliah pengajian di Masjid Jamek Inanam Laut.