Di Dewan Saadah Wisma MUIS pagi ini, Tuan Hj Nicholas dinobat sebagai penerima anugerah khas saudara kita sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat Negeri Sabah 1430H / 2009. Berikut diturunkan biodata beliau.

Dilahirkan pada 8 Disember 1966 iaitu 42 tahun yang lalu di Kg Nagapas Papar.

Beliau lahir dalam keluarga yang taat kepada ajaran Kristian Katolik. Ketika kecilnya, beliau bersekolah di Sekolah Rendah Sacred Heart, berhampiran dengan gereja terbesar di Sabah – Cathederal Sacred Heart Karamunsing.

Ketika berumur 12 tahun, selepas menjalani upacara Baptism Confirmation, beliau dipilih oleh pihak gereja sebagai Soldier of Jesus Christ atau Tentera Kristus.

Ketika remajanya, beliau mendapat biasiswa daripada Yayasan Sabah untuk menyambung pelajaran di Sekolah Tinggi Batu Pahat Johor. Ketika di sanalah beliau mendapat beberapa gambaran awal tentang kehidupan orang Islam.

Ketika tingkatan empat, beliau kembali ke Kota Kinabalu untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah La Salle Tg Aru, sebuah lagi sekolah muballigh Kristian.

Akhirnya pada 13 Januari 1985, setelah 9 hari berada di Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian, beliau akhirnya memeluk Islam di rumah seorang muslim berhampiran Arkansas State University.

Berkahwin dengan Halizahtun Md Ali, beliau dikurniakan 9 cahayamata iaitu Maryam, Fatimah, Umar, Abu Bakar, Aseeyah, Khadeejah, Uthman, Ali dan Ayesha.

Beliau kini bergerak aktif sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan giat memberi pelbagai ceramah, seminar, forum dan kuliah di seluruh negara, khususnya berkait dengan tajuk pemantapan aqidah, perbandingan agama Islam dan Kristian, isu-isu murtad dan seumpamanya.

p3070732Di Sabah, beliau kerap menyampaikan ceramah dan dakwahnya di pelbagai tempat, di masjid-masjid dan surau, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, kampung-kampung khususnya di pedalaman.

Juga pernah menyampaikan ceramah di Istana Negeri bersama TYT Yang DiPertua Negeri Sabah pada 2007.

Beliau juga telah menulis dua buah buku iaitu ‘ASAS AJARAN KRISTIAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM’ dan ‘JOM BERDAKWAH’, dan sedang menyiapkan beberapa buku untuk dipasarkan.